Pesta Semalam

Semalam aku pergi ke satu pesta. Di situ aku bertemu dengan sahabat lama. Aku tak ingat bila kali terakhir aku bertemu dengannya sebelum ini. Hampir sepuluh tahun yang sudah, barangkali. 

Tiada apa-apa perubahan yang aku perhatikan di dalam hidupnya. Seperti aku, kehidupan kami masih sama seperti dahulu, melainkan dia lebih bernasib baik memandangkan dia sudah beristeri dan memiliki seorang cahaya mata.

Lewat pertemuan semalam, kami banyak bersembang soal kehidupan masing-masing. Nyatanya, dia bukanlah orang yang ada pekerjaan tetap, hidup juga payah, dan setiap hari sentiasa beradu nasib demi meneruskan kelansungan hidup seisi keluarga. Aku katakan padanya, dia lebih beruntung daripada aku. Dia masih ada nasib untuk di-adu. Sedangkan aku, nihil.

Kami tertawa. Atau aku saja yang tertawa sebenarnya.

Kita akan banyak belajar soal kehidupan daripada orang-orang yang hidup susah berbanding dengan orang-orang senang. Mungkin disebabkan itu, aku lebih selesa bersama dengannya berbanding kawan-kawan kami yang lain, yang punya kerjaya tetap bergaji hampir lima angka.

Sebelum berpisah, dia menyalam tanganku dan menepuk bahuku beberapa kali. Katanya, dua bulan hadapan dia akan datang lagi ke sini.  Untuk pesta yang lain. Dan dia mengharapkan yang aku masih ada di sini. Untuk bertemu dan bersembang dengannya lagi.

Selamat Kembali

Sudah berapa lama aku tidak menulis di sini, ya? Seolah-olah aku telah hilang dari dunia. Atau dunia yang sebenarnya hilang dari aku?

Bila aku membaca kembali coretan-coretan lama, ah! Terbit semacam perasaan yang tidak menyeronokkan. Entah kenapa. Seperti menyingkap dosa-dosa lama. Dosa-dosa yang tidak akan dapat dipadamkan untuk selama-lamanya.

Apa pun, aku sukakan ruang yang gelap ini, berbanding di ruangan yang lain. Semacam ada suatu aura(?) yang akan terus membawaku di sini. Aura kesenyapan. Aura kesepian. Kerana, dunia penulisan itu seharusnya sepi dan penuh melankoli. Ah! Benarkah begitu? Di dalam kesepian saja kita akan menemui diri sendiri - boleh jadi?

Beberapa bulan lagi, buku aku yang ke-berapa entah akan terbit. Buku itu aku rasa lebih baik dari buku-buku yang sebelumnya. Mungkin sebab di dalamnya ada sajak-sajak -kalaulah ia boleh dinamakan sajak. Dan selama ini aku berhajat besar untuk menulis sebuah buku sajak. Tapi apakan daya, bakat bukanlah suatu yang dapat kita beli di mana-mana. Kekuatan aku (barangkali) setakat ini hanya untuk mengarang cerita 60 ribu patah perkataan. Bahkan, mahu mengarang sebuah cerita pendek pun buat masa ini, aku terus-terusan gagal. 

Aku rasa ada sebuah sajak dari ruang ini yang aku muatkan di dalam buku tersebut. Kerana pada mulanya, aku ingin meletakkan tajuk Aku Bukan Malaikat untuk buku itu. Tapi nampaknya, ceritanya langsung lari dari tajuk sebegitu. Aku cuma merancang, watak-watak cerita itu yang menentukan jalan hidupnya sendiri, kan? Seperti juga nasib hidup di masa depan yang tidak ketahuan. 




Selamat Tinggal Mimpi-Mimpi

Seingat aku, pada coretan awal aku mulakan dengan hati yang patah dan menyalahkan cinta. Aku mengisi kesunyian ketika itu dengan menulis emosi yang sarat dengan benci. Pada saat itu, seseorang hadir di hadapan aku. Berpaut pada sayap sang malaikatnya. Dia memulihkan aku perlahan-lahan. Dan memacu mimpi-mimpi yang aku coretkan lagi dan lagi ke atas helaian kertas yang tak pernah pun angankan.

Namun, segala-gala yang dimulakan memerlukan penamat. Seperti telah ditentukan sejak awal lagi. Serupa dengan kisah-kisah yang aku coretkan selalu. Tanpa aku sedari, aku berada di penghujung kisah yang aku lupakan kata mulanya. Dia akhirnya mengambil keputusan untuk pergi. Pantas merentap mimpi-mimpiku. Memadam segala semangatku. Mengingatkan aku pada rasa hiba yang lalu.

Aku hilang kehangatan. Memerangkap aku pada putaran masa yang beku. Aku tak akan salahkan siapa-siapa untuk yang kali ini. Aku meludah diriku sendiri. Betapa aku telah lupa suatu hal tentang hati. Hati yang mengucapkan selamat tinggal pada mimpi-mimpi.

Buku

Bacalah buku-buku yang dapat meng-evolusikan dirimu ke hadapan - dari seekor beruk menjadi seorang manusia yang komplit. Bukannya buku-buku yang membuatkan kau ter-mutasi tanpa sedar menjadi yang bukan-bukan.


ii

Bila-mana dunia memilih fantasi
Hikayat kepura-puraan itu menjadi realiti kepada aku.