Malam yang bulat

Malam ini malam jumaat. Aku menulis dalam telanjangan bulat. Sampai belakang ku tumbuh sayap-sayap malaikat. Lalu aku terbang ke atas sana bicara sama dewa tentang hakikat dan makrifat.

Tumpul-berkarat.

Petak yang pekak

Dalam petak yang pekak dia terlajak
Melintasi garis horizantal tegak
Mahu undur dituduh takbur
kaku lah di situ sehingga terkubur.
Dipaku, diikat, terjerat, akalnya sarat.
Dimaki, diludah, dihina masyarakat.
Bernafaslah dia jasad si mayat.

Bukan silap aku! Bukan salah aku! Jari tunjuk empat penjuru.

Kebanyakan orang, orang kebanyakan.
Hidupnya yang pudar. Matinya tanpa sedar.

Siapa kita untuk berkisah?
Siapa kita bermetafora?

Dia insan yang mati tapi bernyawa.

Percubaan gila

Ketika ini, aku sedang melalui suatu pengembaraan. Pengembaraan yang aku ciptakan di dalam putaran akalku sendiri. Suatu perjalanan fantasi yang membuatkan aku menyisih dari realiti. Aku mahu merasa bagaimana rasa seorang penulis dapat menghasilkan sebuah kisah yang panjang perjalanannya. Sampai beratus halaman jaraknya.

Ini adalah percubaan gila rasanya. Percubaan yang membuatkan tidur malam aku jadi tak lena. Percubaan yang memerangkap aku dalam lautan aksara. Sampaikan aku seakan-akan mahu lemas. Walhal, kisah yang dituliskan bukanlah seberapa.

Banyak yang berputar dalam minda, tapi bila aku cuba menggerakkan pena, aku membeku. Mahu menggerakkan satu ayat pun amat payah. Adakala, ianya lancar mengalir seperti air. Seakan-akan tidak mahu berhenti sampai pagi. Mungkin, itu yang dikatakan oleh sebilangan orang bijak pandai sebagai mood?

Kini baru aku mengerti, apa yang dikatakan oleh seorang sasterawan tentang penyeksaan yang akan dilalui oleh setiap penulis dalam menghasilkan sebuah kisah. Apatah lagi kisah pertamanya. Tapi itu ditujukan untuk penulis yang betul-betul ada jiwa penulis. Sedangkan aku ini bukanlah seorang yang boleh digelar sebagai penulis lagi. Cuma seorang penconteng dinding malam dengan mata pena yang suram cahayanya.

Disebabkan itu, ruang ini seakan-akan mati. Jarang terpalit dengan rasa, mahu pun kisah yang dapat aku ceritakan dan kongsikan. Kecuali untuk yang satu ini.

*bila aku mengulang baca apa yang aku kisahkan, terbit rasa malu dan segan untuk melemparkannya pada mata-mata manusia. Apa itu semulajadi? Atau aku sendiri yang tidak mampu untuk berpuas hati barangkali.

 

Biola

Aku sukakan bunyi biola. Walau aku buta pada tiap tangga nadanya. Walau seumur hidup ini bahu ku tidak pernah diletakkan badan biola, jauh sekali menggesek dan menekan tali-tali rapatnya, tapi aku menikmati suaranya. Satu ciptaan alat muzik yang begitu indah. Sentiasa membuat aku khayal. Setiap gesekan biola yang baik, akan membuai aku. Irama yang dilantun dari gesekan gemersik mampu menggetarkan jiwa. Walau irama asalnya diambil dari lagu yang tidak pernah sekali masuk dalam jiwa. Hebat bukan?

Gesekan merdu biola itu pada aku punya warna bila dimainkan dengan sempurna. Tiap gesekan halus merdu tali-tali biola, terhasil pelbagai warna yang menyaluti setiap perasaan. Boleh jadi warna bahagia yang indah tersebar di dalam gelita. Mungkin juga warna derita yang kelam dan suram menyelinap perlahan di dalam ruang bahagia yang  terang. Terpulang pada irama yang dimainkan. Terpulang juga pada penikmat yang menikmat.

Andainya aku memiliki biola serta punya kemahiran untuk menggeseknya. Kalian pula menjadi penikmat pada tiap gesekan yang aku lantunkan. Kalian juga dapat melihat segala warna yang beralun dari tiap gesekan. Apa yang kalian nikmati cumalah kesuraman. Melihat warna yang tidak lain hanya gelap yang menyesakkan. 

Dan, andaikan sahaja biola itu adalah cinta. Rasanya, biola itu kini hampir putus tali-talinya.

Langit senja

Kalian pernah lihat kaki langit waktu senja?
Saat matahari mulai hilang.
Saat kawanan burung pulang mencari sarang.
Ada warna jingga. Warna merah.
Aku sudah lama tiada melihatnya.
Sudah lama tiada menghayatinya.
Tiada menikmatinya.

Sengaja aku menghindarkan mata dari menatap semua itu.
Melarikan diri dari menikmati pemandangan itu.
Walau aku tahu ia suatu yang indah.
Walau aku tahu ia pernah buat aku terpesona.
Pernah buat aku rasa bahagia.

Langit senja itu masih membuat aku luka.

Nikah

Mereka. Sudah masuk ruang baru. Ruang bahagia, harapnya. Ruang yang menjadi impian setiap insan, pastinya. Aku gembira untuk mereka, semua.

Nikah, satu ikatan yang indah. Jika dulunya ada sentuhan dosa, kini ia sudah putar 180 darjah. Boleh aku katakan sebagai sentuhan pahala? Aku tidak tahu membahasakannya. Yang pastinya, nikmat cinta selepas nikah itu lebih nikmat dan bererti. Dan, nikah itu pun ibadat.

Tapi, aku sedar sesuatu. Di kala mereka semua kecap bahagia, aku semakin bersendiri. Aku menjadi sunyi. Ruang masa yang ada untuk aku dari mereka sebelum ini, rasanya sudah tidak ada. Itu sudah lumrah. Harap, ini cuma sementara bukan selama-lamanya. Satu masa nanti, aku juga mahu bernikah. Seperti mereka. Seperti kalian semua. Aku bukannya malaikat hingga menolak alam rumah tangga.

Aku tertarik mendengar khutbah jurunikah di dalam majlis baru ini. Satu dari ayat khutbah;

"Sekali kamu melafaz cerai, Arasy tuhan akan bergegar. "

Sejak dari manusia turun ke bumi, hingga masa ini. Tidak akan terkira berapa kali Arasy itu bergegar. Jika Arasy itu seperti rumah manusia, sudah lama ia roboh.

Pada mereka, dan kalian. Semoga bahagia sentiasa. Bahagia sampai syurga.

Irama sang bisu

Betapa gemersik alunan irama
Betapa syahdu melodi bergema
Masih kaku aku membeku
Irama nan syahdu nyanyian sang bisu
Jadi melodi mati pada hati.

Acap kali suara mempersona
Mainan lidah mengait kata
Buai diri terapung di udara
Sampai lupa apa itu tanah.

Tunggu.
Satu tika bila terkesima.

Tunggu.
Satu saat bila terhina.

Sedar diri bukan pegang nyawa.
Sedar hati bukan pegang mulia.

Tunggu.
Bila rasa apa itu jatuh.

Tunggu.
Bila jasad sudah terkujur.

Malaikat maut sudah sedia.
Sampai masa rentap jiwa.


Ada di antara malam

Ada di antara malam, turunlah para pemilik sayap-sayap yang menjadi payung pada manusia. Memenuhi ruang angkasa. Dengan membawa satu rasa dan khabar gembira dari langit. Cumanya, mereka juga bisa dingin. Dingin pada jiwa yang celaka.

Ada di antara malam, jiwa itu dipukul dihentak dipijak sampai tersungkur. Dongak kepala, pandang satu cahaya. Izrail sudah berlabuh bersiap rentap nyawa. Nadinya berhenti, jantungnya mati.

Tergantunglah jiwa di antara syurga dan neraka. 
Menunggu si Penguasa putus bicara.

Ada di antara malam, di pintu itu Ridhwan bertanya, kau mahu ke mana?
Aku mahu ke syurga.
Ridhwan paling muka dengan senyuman yang durja.

Ada di antara malam, di pintu itu Malik bertanya, kau mahu ke mana?
Aku tidak layak di syurga.
Malik hampa riaknya murka. 
Di bukanya pintu tinggallah jiwa bersama Zabaniah.

Dan ada di antara malam, jiwa itu kembali terjaga. Merenung dan memandang dunia nyata yang celaka. Lalu bangunlah dia merebut masa yang tersisa. Menanti gerombolan pemilik sayap penuhi semula ruang angkasa. Menagih sedikit cahaya.
Mungkin, ini buat terakhir kalinya.


Titik Buta

Seluhur hati setulus jiwa, tetap ada sudut yang cela. Sisi diri yang sedaya disisih. Disorok dari mata yang cuba dipesona dengan serakan warna indah kehidupan si-empunya dunia.

Adakalanya wujud ketidakpuasan hati. Diselongkarlah semahu diri. Dipecahkan kunci segala peti. Dicarilah segala apa yang dicari.

Duduknya mula tak senang. Hatinya mula tak lenang. Akalnya mula dirasuk berang.

Lalu dimainkanlah melodi emosi. Digerakkan kaki seriang hati. Tanpa sedar pandangannya dialih. Dari satu sudut yang tersembunyi.  

Dari satu sisi hidup yang telah dikunci.

Ini rumah kita

Hubungan aku dan kau, ibaratnya sebuah rumah.
Terbinanya dengan akal. Mungkin runtuhnya dengan nafsu.

Aku mengawasi pintu rumah ini dengan rasa yang tegar.
Agar tiada bahaya yang masuk menjalar.
Tak kiralah apa pun aku digelar.
Aku jauhkan mati di kala sedar.

Berpijak kaki di bumi nyata, telaah hidup dari sejarah.
Setegar mana pun aku berjaga, tak ternafi yang punya kuasa.

Oleh sebab itu, dengan diplomasi pintu rumah ini kita kunci.
Dan anak kunci itu, tanpa diplomasi pada kau aku beri.
Sepenuhnya ruang diberi untuk kau memilih.
Kekal di sini, atau pun pergi.

Tanpa paksaan.

Cuma, seharusnya kau patut tahu.
Aku mahukan kau kekal di rumah ini.
Bersama aku sampai mati. 

Penebusan

Kini aku sekali lagi bernyawa untuk ke-puluhan kalinya di bulan penebusan dosa. Masih bernafas dengan udara dunia. Masih diberi belas kasihan oleh si Pencipta. Makhluk kerdil seperti aku ini sentiasa mengharapkan belas kasihan dari yang Perkasa. Itulah hukum. Tanpa perlu aku sanggah.

Malaikat di langit rasanya bahagia untuk menebarkan sayap-sayap turun ke pentas bumi mendampingi si manusiawi. Apatah lagi pada malam yang dijanji. Menghampiri si hamba yang lemah menadah tangan di malam hari. Mengharapkan segala catatan hitam bersih menjadi putih. Mengharapkan janji si pencipta-nya dilunas dengan hidup yang indah di dunia abadi.

Aku, kau dan kalian semua. Hamparkan sejadah. Dengan tuhan kita bicara. Tebuskan segala dosa.

Aku, kau dan kalian semua. Ikhlaskan jiwa, tuluskan hati. Malam dijanji kita nanti.

Salam Ramadhan untuk kalian semua.

Silam

Di sini aku cuma berbicara sendiri. Walau ada mata yang memerhati aku dari jauh, walau ada balas bicara pada ruang yang sayu, aku tetap berbicara sendiri.

Di sini ruang penyeksaan jiwa. Ruang aku memutarkan masa menuju masa silam.

Mengutip segala serpihan kaca yang bertaburan. Melukakan diri dengan rasa penyesalan.

Walau dimula dengan keindahan, tetap akan berakhir dengan kecacatan.

Silam aku suatu yang menyakitkan.

Akan terus aku kembali, sampai ingatan aku mati.

Mereka yang pernah ada

Hilangnya harum aku mengeluh. Pupusnya indah aku terkedu. Ke mana pergi warna pelangi. Ke mana hilang wajah syurgawi.

Mereka semuanya sudah pergi. Meninggalkan aku terkapai hanyut sendiri di sini. Bermain sempurna dengan kotak imiginasi, tapi cacat di dalam hati.

Ingin aku kejar mereka. Mahu aku bersama mereka. Tapi aku bukanlah insan yang terpilih walau aku tetap dilindungi. Mungkin masa aku belum tiba untuk berada di samping mereka. Sepatutnya, sebaiknya aku bersabar. Bukan menjadi gusar. Bukan menjadi manusia gasar.

Merenung diri. Tercalit segala memori putih dengan warna yang hitam. Membisu aku di dalam kelam. Rasa hina pada diri masih lagi membungkam jiwa yang hanyut di lautan dosa yang dalam.

Jangan saja di saat Izrail datang nanti, aku diam tergamam.

Di jalanan

Di jalanan kaki melangkah pandang ke bawah. Penuh hati-hati. Tanpa aku berhenti, kedengaran suara-suara sapaan sumbang di tepi jalan. Tiada peduli aku melangkah tetap pandang ke bawah. Tanpa sedikit pun aku mengangkat kepala memandang empunya-empunya suara. Malu aku melihat lakonan insan-insan yang memualkan melontar suara di tepian jalan.

Namun, perlahan mana pun aku berjalan, teliti mana pun setiap langkahan, tetap juga aku terpijak duri dan kotoran. Yang membuatkan langkah kaki aku mati seketika.

Mungkin itu telah ditetapkan Dia yang menjadi raja duduk memerhati aku dari atas singgahsana. Agar dapat aku berehat sejenak dari perjalanan yang masih samar destinasi penghujungnya. Agar dapat aku menoleh kebelakang seketika memerhati tapak-tapak kaki yang aku tinggalkan. Melihat corak langkahan yang bukanlah sempurna dan selurus jalan yang aku gunakan.

Atau mungkin ianya sebagai ujian pada aku untuk berasa syukur apa itu kesakitan tertusuk duri dan dipalit kotoran sepanjang perjalanan. Ujian yang selalu aku gagalkan bila aku cuma tahu apa itu mengeluh keji. Sedangkan aku tahu aku berjalan bukannya sendiri. Ada sayap pelindung setia memayungi tanpa berasa letih mendengar ayat-ayat seni bernada caci.

Harapnya sayap pelindung itu akan terus setia memayungi tanpa mengibarkan sayapnya terbang meninggalkan aku sendiri menahan panas bahang mentari dan basah kuyup curahan hujan menimpa diri. Pada ketika itu, pasti aku mendongak kepala memandang langit menyumpah kebodohan sendiri.

Sumbang Jiwa

Tiada patut aku menerima seksa dari terjerat dengan masa. Kelu lidah aku tanpa sebarang bantah. Menurut tingkah bagaikan boneka. Kaku pada akal hilangnya bijaksana. Malaikat di kiri tanpa peduli tekun dengan tinta penanya. Sedangkan pena di kanan hilang entah ke mana. Membuatkan pemilik pena kanan itu simpati diam tanpa bahasa. Simpati pada jiwa yang seakan mencemuh Ridhwan di pintu syurga dan memberi salam pada Malik di laman neraka.

Malaikat yang khianat mengaku dewa raja melebarkan senyuman sumbang memandang Penciptanya. Sudah dapat memaut jiwa yang mudah tercelaka. Sungguh janji sumpahnya di hadapan Pencipta hampir dapat dikota. Bermegahlah ia menang pada dunia.

Aku jeritkan pada langit alunan suara hati aku yang sumbang ini. Dan aku meludah ke bumi bila langit menurunkan hujan batu bagaikan peluru menembusi jasad terus ke dalam jiwa. Jiwa aku yang kosong menanti untuk dipenuhi dengan sesuatu yang aku pernah ada untuk merasa. Jiwa aku yang sudah layu menanti subur dengan siraman cahaya. Tiada akan jiwa aku dapat semua itu dengan cara paksa. Tanpa kenal apa itu redha. Tanpa mengerti apa itu pasrah.

Makhluk ciptaan seperti aku ini bukanlah perkasa dapat melihat hari muka. Tudingkan saja jari pada si Penguasa dunia yang lagi maha perkasa. Menunggu samada celaka atau bahagia. Tapi lupa apa itu kudrat untuk berusaha.

......Manusia.

Bersendiri

Bersendiri menelaah kehidupan. Meminggirkan watak-watak yang mengikat hati secara rela mahupun paksa. Menjadikan aku raja pada rasa. Hamba pada masa.

Bersendiri, terhambat dengan kesedihan yang sudah berlalu jauh dari nyata. Menyeranah jiwa sendiri betapa dangkalnya akal bila takdir itu dipersoal. Mudah bukan? Hidup manusia ini mudah. Atau hidup manusia beragama ini mudah sebenarnya. Salahkan saja pada takdir. Itu tangga akhir iman? Jalan terakhir untuk menuju pada tuhan?

Sendiri aku mengukir senyuman dalam kelam. Menulis segala harapan dan impian pada jalur masa di hadapan. Tanpa pasti bila akan sampai garis henti. Bila jasad aku sudah mati. Jiwa aku sudah kembali.


Mahu aku bicara dengan kalian. Mahu juga aku bicara dengan tuhan. Secara diam.

Kesalahan

Sekian lama. Dia masih tetap yang sama seperti dia yang awalnya. Cuma nada suara saja yang berbeza. Bukanlah dia dan awalnya itu bersaudara seibu sebapa. Kenal pun tidak. Tapi aku memandang dan merasanya seperti orang yang sama. Atau cuma aku saja yang cuba membuatkan dia dan dia menjadi jiwa yang sama?

Aku selesa. Aku jua aku terseksa.

Hidup dalam ingatan. Memandang pada kenangan. Aku lebih dekat membunuh perasaan. Mungkin jua aku  terbunuh sebelum pengakhiran yang belum ada permulaan.

Aku sedar. Hati aku masih terikat. Ikatan lama yang masih sukar untuk aku lepaskan.

Aku merindui dia yang lama. Salahkan aku.

Dulu hati aku pernah mati

Suatu ketika, aku pernah mengatur langkah kaki aku menuju neraka. Dengan sedar. Kerana jiwa aku lelah putus asa pada syurga. Rasa aku mati pada apa yang kalian gelarkan sebagai cinta. Cinta yang membuatkan aku buta pada dunia. Cinta yang membuatkan aku jatuh dan menghina setiap hati yang ada di sisi.

Aku menyalahkan tuhan. Aku naif. Bukan pada agama, tapi naif pada harga diri sendiri. Naif pada kekuatan hati. Pernah terlintas untuk aku mengambil alih tugas Izrail menghentikan nadi aku sendiri bila merasakan dunia sepertinya memalingkan muka dari aku. Cumanya aku pengecut. Tiada keberanian seberani manusia lain yang lebih lemah dan bodoh dari aku.
Atau, aku masih percaya pada tuhan walau ketika itu aku menyalahkan Dia dan mengeji takdirNya. Mungkin di situ bezanya aku dan mereka-mereka yang lebih berani bertemu secara terus dengan Zabaniah.

Lipatan sejadah di penjuru bilik membuatkan aku hidup dan kembali waras pada akal waktu itu.

Aku diajar, asalnya malaikat itu dari cahaya.
Aku diajar, sifatnya malaikat itu patuh dan setia.
Tapi aku lupa apa itu cahaya.
Aku keliru apa sebenarnya patuh dan setia
Melihat manusia yang lalai terjerat dengan cinta sementara
Terbuai, alpa pada anugerah indah yang fana
Menghamparkan permaidani merah menuju pintu neraka.

Aku diajar dan belajar,
Cinta manusia ini lemah dan sementara sifatnya.
Namun, aku tetap percaya, 
Cinta di syurga itu pasti ada
Lebih hebat dari dunia.


Bercinta itu indah, bukan? Membuatkan hati aku akan hidup selama-lamanya. Selagi aku mahu memandang ke arah syurga.

#Benci si kerdil

Kaku membisu pada fizikal aku. Makhluk sekeliling menuding jari pada gaya yang melulu.

"Ya!!..serahkan saja beban-beban dunia kamu itu pada aku yang membatu." bicara si boneka kerdil yang dipijak beberapa boneka gergasi.

Jika aku yang terpilih menerima yang hitam sedangkan putih untuk kamu, gembiralah hati-hati kamu siang dan malam tanpa jemu. Mana mungkin kamu jemu, memerhati sang boneka dimainkan si boneka yang lain dengan jiwa dan akal yang celaru.

Tersedar. Melihat ke atas sana. Mengharapkan DIA masih mahu melihat aku si boneka kerdil di bawah sini.

Hubungan

Di satu sisi, kau akan melihat tingkah gaya dan luah suara aku terarah pada satu yang bertentangan dari arah yang kau fikirkan. Bukanlah hipokrit yang aku hulurkan secara paksa untuk kau telan. Cuma watak lakonan yang biasa aku bawakan di atas pentas hubungan antara insan seperti kau. Kadangkala menolak insan diasak dengan ujian ke hujung batas kesabaran. Kesabaran, aku letakkan kesabaran itu pada tangga yang paling tinggi. Aku simpulkan kemas pada ikatan mula dalam setiap tali yang aku ingin ikatkan pada hati aku sendiri.

Makhluk ciptaan bernama manusia ini bukanlah sempurna seperti yang menciptakan. Pada hari ini aku tersenyum melihat kau umpama malaikat. Esok hari kau mengubah diri umpama syaitan membuatkan senyuman hari semalam aku kesalkan. Itu suatu hubungan sesama manusia ciptaan tuhan. Pasti ada pasang, ada juga surutnya seperti lautan. Dan lautan itu sifatnya luas dari daratan.

Namun, sekiranya kesabaran itu di beri ruang dan masa dalam sebuah ikatan perasaan antara aku dan kau, tidak akan tergugatnya hati bila minda diperangkap dengan emosi yang celaka. Tiap yang rasanya pahit untuk ditelan, jauh sekali menggoncang suatu perhubungan dan ikatan. Itu jika ada kesabaran.

Sempurnanya suatu ikatan bukan didasarkan pada kekayaan. Bukan pada paras rupawan yang sepadan. Bukan memilih pangkat dan darjat yang setandingan. Pada aku, ianya sempurna bilamana aku dan kau sudah saling melengkapkan. Saling memerlukan.

Cemburu. Apa itu benar cemburu semulajadi yang muncul dalam hati setiap insan? Atau sekadar cemburu yang dijadikan jalan mencari alasan? Perasaan itu hadir menyapa aku dengan cuma membawa sebab. Sebab yang aku pelajari dari pengalaman, pemerhatian, pendengaran, kewarasan fikiran dan prarasa yang dimiliki oleh setiap makhluk bernama insan.

Diam

Dengan tangan di dada, izinkan aku untuk bicara. Bicara pada diri. Tanpa terlintas niat memuliakan hati.

Aku empunya beberapa wajah, yang berpijak di dunia maya. Dunia yang ada riak gelombangnya. Gelombang yang mampu menggoncang jiwa. Dengan pelbagai bentuk bicara tanpa aku kenal si empunya wajah. Si empunya yang pasti sama seperti aku, dilindungi malaikat Hafazhah.

Ada yang membuat aku senyum terpesona melihat betapa indah bait-bait kata. Ingin aku berikan kata puji si empunya wajah, aku segan rasanya. Cukup sekadar aku memuji dari hati yang bersembunyi. Hati yang asyik melihat kalian dari jauh. Pada kalian si empunya wajah, yang indah tutur bicaranya, yang manis aku merasa, aku ucapkan tahniah. Terima kasih, kalian mencorak hati dengan warna pelangi.


Namun sudah menjadi lumrah pada dunia. Pasti ada watak hitam yang menikam jiwa. Yang buruk pada bicara. Bait-bait kata bercorak celaka. Meninggikan neraka di atas paras syurga. Mahu aku mencela pada si empunya wajah, aku sendiri berjiwa lara. Malu aku mengaku mulia.

Lantas aku cuba merasa setiap kata. Kata-kata lakonan di pentas maya. Bicara kata yang ditolak si hati mulia. Kata-kata hitam yang membunuh minda si hati mulia. Si hati mulia yang mencemuh menjaja nama. Yang lupa dia manusia berjiwa buta.

Pada kalian yang berhati mulia, jangan dilupa kaki berpijak di alam maya. Yang punya pelbagai rasa. Yang punya berjuta wajah. Jangan terus menyimpulkan kata, mengikut hati melupakan minda.

Aku tunduk mendiamkan diri. Tanpa bersuara aku memuji, memalingkan muka dari mengeji. 

Diam itu lebih sempurna rasanya. Dan jangan lupa berdoa baik pada saudara-saudara kalian. Biarpun bersembunyi tanpa diketahui. Itu lebih makbul.

Aku yang buta

Hati aku ni gelap. Banyak noda. Ingin juga aku bersihkan, guna cahaya yang terang. Cahaya yang aku dapat guna dalam perjalanan menuju syurga.

Tapi aku seperti terpaksa menyukai kegelapan. Kerana, kegelapan itu tampak lebih rapat dengan aku. Lebih mesra. Ke mana saja kaki aku melangkah, di situ kegelapan sentiasa ada. Sentiasa aku lihat, sentiasa aku rasa.

Aku dikelilingi oleh kegelapan jiwa dan hati manusia yang dicipta si Penguasa langit dan bumi. Makhluk ciptaan yang memiliki sikap dan sifat malaikat sang penderhaka yang sombong pada si Penguasa langit dan bumi. Sikap yang degil dan egois pada undang-undang dan arahan si Raja yang duduk di singgahsana. Si Raja yang punyai kuasa mematikan dan menghidupkan sang penderhaka sejak mula alam ini dicipta.

Aku yakin kalian pernah tertanya, mengapa sang penderhaka itu tidak dimatikan terus wataknya? Mengapa diberi keistimewaan untuk hidup sebegitu lama? Bukankah malaikat derhaka itu golongan yang secara terang meludah makhluk ciptaan si Pencipta dulu? Apa natijah bila sang penderhaka itu dilenyapkan serta merta? Kalian berasa jiwa dan diri lebih bersih dan mulia? Pandang cermin tanyalah diri. Aku cuma mampu tunduk memandang bumi. Mencemuh diri sendiri.

Aku  manusia yang masih punya jiwa yang gelap. Yang selalu menjadi boneka kepada sang penderhaka. Yang masih mampu tersenyum, tertawa dengan kegelapan yang ada. Walau kaki tersandung, walau terjatuh, walau cuma mampu meraba bak si orang buta kehilangan tongkat, aku masih mampu tersenyum. Malah kadangkala aku tertawa. Apa aku gembira dengan kegelapan?

Aku juga inginkan cahaya sama seperti kalian. Aku juga mahu berada bersama kalian berdiri di depan pintu itu dan melihat Ridhwan membukanya untuk kita kelak.


"Aku bukanlah seperti Mikail yang tidak pernah mengukir senyuman sejak neraka itu dicipta si Penguasa langit dan bumi. Aku cuma manusia ciptaan si Penguasa yang bijak bistari. Manusia yang diletakkan pada darjat lebih tinggi dari Mikail. Darjat yang membuatkan aku kadangkala sombong, melebihi kesombongan Azazil."

Bicara puitis

Aku berbicara dengan cara puitis pada kau. Kau layu melihat bumi tempat kau berpijak. Ada tanda malu pada wajah.

Bicara puitis sebegitu cuma perlahan membuai perasaan, tapi aku mengerti kau berada pada keasyikan. Kau mula tertawa. Tawa itu tanda kau bahagia. Tanda kau gembira menerima seadanya aku, yang sememangnya sebegitu.

Tapi aku ingin katakan, bukan kau yang pertama rasa sebegitu. Ada jiwa-jiwa lain yang pernah merasa terlebih dulu. Aku memandang jiwa-jiwa lain itu sama seperti kau pada ketika ini di saat mulanya mereka aku kenali. Cuma semakin lama, bicara puitis aku menjadi kaku pada mereka. Kaku terhimpit dengan rasa curiga. Dan yang penting, aku juga mengharapkan bicara puitis sedemikian dapat diberi pada aku oleh jiwa-jiwa yang dulu. Mereka tidak mampu.

Aku mengkhayalkan tentang kau sebaliknya. Tidak sama dengan jiwa-jiwa itu. Dan aku harap bicara puitis aku tidak akan pernah kaku pada kau. Selain aku mengharapkan kau dapat memberikan bicara puitis juga pada aku.

Walau bicara puitis itu tidak semestinya dari suara. Cukup pada tingkah gaya. Seperti yang kau lihat bila berhadapan dengan aku. Yang membuatkan kau tertawa bahagia.

Dan bahagia itu semestinya, sepatutnya berada pada rasa yang tulus.

Jarak dan masa

Jarak antara kau dan aku ketika ini adalah jauh. Jauh pada masa, jauh pada jarak.

Dan sekiranya kau masih mahu untuk berada lebih jauh dari yang sekarang ini tanpa sebarang ikatan, aku takkan mampu untuk bertahan. Aku sudah tidak mampu bertahan dengan jarak yang jauh seperti dulu. Akal ku diselaputi dengan pengalaman yang lebih condong untuk berwarna hitam pada kejauhan sebegitu.

Seperti masa yang sentiasa berjalan ke hadapan, tidak akan berhenti menunggu, apatah lagi untuk mengundur ke belakang.

Dan masa itu yang membedakan antara kita berdua rasanya.

***

Tercela

Aku mencela pada kamu-kamu yang tak setia.
Aku mencela pada kamu-kamu yang berdusta.
Aku mencela pada kamu-kamu yang menjadi punca.
Aku mencela pada kamu-kamu yang tidak kenal apa itu rasa puas.
Aku mencela pada kamu-kamu yang ada dua wajah.
Aku mencela pada kamu-kamu semua.

Dan di antara kamu-kamu semua itu, ada aku.

Selingkuh itu indah cuma pada mulanya. Akhir cuma celaka yang ada. Aku harap kamu-kamu semua pernah belajar tentang semua ini.

*Aku bukan seorang yang mulia.

Pertemuan pertama

Kali pertama aku bertemu dengan dia. Indah.

Indah pada wajah. Indah juga pada suara yang punya irama merdu mengkhayalkan. Aku dibuai sebenarnya. Atau terbuai sendiri. Perjalanan jauh yang menyeksa jiwa dan tubuh sebentar sebelum bertemu dengan dia, hilang ditelan indah. Aku kembali segar. Kembali cergas. Cuma akal ku kurang cerdas. Bagaimana untuk akal ku cerdas bila berhadapan dengan keindahan? Melihat pada kesempurnaan yang menyembunyikan kecacatan. Sempurna pada pancaindera ku sendiri. Tanpa peduli pada kecacatan yang wujud di setiap makhluk bernama insan. Insan seperti aku.

Aku inginkan keindahan pertemuan pertama ini kekal sampai bila-bila. Tanpa dikotorkan oleh debu cemburu. Cemburu insan lain yang menghajati keindahan itu. Seperti suatu masa dulu. Pada masa keindahan yang aku sedang nikmati ketika itu dicemari dengan debu cemburu yang membunuh rasa. Membutakan mata. Mencelakakan jiwa.

Kau mesti pernah merasa keindahan pertemuan pertama bukan? Pertemuan yang menguatkan rasa cinta. Rasa yang sudah wujud sebelum pertemuan. Walau pun pada akhirnya kau kecundang pada keindahan itu sendiri, sekurang-kurangnya kau ada melihat dan merasa keindahan pertemuan itu terlebih dahulu. Itu sepatutnya membuatkan kau rasa bersyukur.

Tapi bagaimana jika pertemuan pertama sedemikian berlaku sebaliknya? Tiada indah yang dilihat. Tiada merdu yang dapat didengar. Segalanya tampak cacat pada penglihatan. Cacat pada rasa. Cacat juga pada iramanya. Kau berasa hina? Aku cuma akan tertawa melihat kau yang berasa kehinaan sedemikian.

Setiap manusia itu ada indahnya. Jika kau mampu membuka mata. Jangan sesekali berasa hina jika kau yang mulakan langkah. Sebab manusia itu selalu terperangkap dengan karma. Karma yang membuat aku takut pada diri sendiri.

??

Zon selesa yang melekakan

Masa ni aku sedang berada di zon yang selesa. Segala-galanya tampak mudah. Tanpa perlu aku kerahkan tulang empat kerat aku. Tanpa perlu aku bersusah payah memerah akal. Cukup selesa. Hingga aku rasakan tubuh ini cukup berat untuk digerakkan. Zon selesa ini membuatkan aku menjadi malas. Kurang cergas. Akal pun kurang berfungsi rasanya. Bila akal kurang berfungsi, itu tanda tahap pemikiran aku bakal menjadi rendah. Dengan kata lain, menjadi bodoh.

Aku perlukan sesuatu yang baru. Suasana baru. Cabaran baru yang membuatkan otak aku kembali bekerja seperti sewaktu aku berada di zon tidak selesa dulu.

Ramai manusia seagama disekeliling aku leka dengan zon selesa mereka masing-masing. Sampai lupa yang mereka sudah ketinggalan. Ketinggalan dari segi harta dan ilmu.Yang dibanggakan cuma cerita keagungan zaman yang dah berkurun berlalu sedangkan di zaman nyata ini cumanya menjadi pak turut dan mat jenin banyaknya.

Untuk kau dan juga untuk aku, jangan jadi leka. Jangan malas. Biar berani mencabar diri, jangan hanyut ditelan ilusi.

??

Topeng emosi

Aku sentiasa memakai topeng. Topeng emosi. Bagi menyorok segala kecacatan yang ada pada emosi aku. Dengan topeng itu, aku akan lebih stabil bila berhadapan dengan kau, dengan dia, malah dengan siapa-siapa saja.

Mungkin topeng emosi itu akan kau gelar sebagai hipokrit.

Mungkin juga topeng emosi itu akan kau gelar sebagai pengecut.

Kau gelar apa saja yang kau suka. Selagi topeng emosi itu mampu membuatkan kau merasa selesa dengan kehadiran aku sebagai manusia ketika ini, aku tidak kisah. Selagi topeng itu mampu kau pandang indah macam pelangi yang ada tujuh warna, tanpa ada satu garisan hitam yang membuatkan kau merasa gelap dan kelam.

Aku yakin di luar sana, ada ramai yang memakai topeng emosi seperti aku. Walau pun ada yang tak menyedari mereka sedang memakainya. Malah sampai satu ketika bila mereka sedar akan topeng emosi mereka itu, mereka terduduk lalu menyalahkan tuhan.

Aku harap aku tak akan sampai tahap sebegitu. Menyatakan diri aku ini sempurna dihadapan kau sedangkan aku cuma seorang manusia biasa yang menyembunyikan emosi dibalik satu topeng yang kau pandang cukup sempurna.

Mungkin pada satu ketika nanti, kau sedar akan topeng yang aku pakai ini. Itu pun kalau kau mampu menggunakan akal yang waras dan menilai aku dengan betul.

Dan aku takkan berhenti menggunakan topeng emosi ini sampai mati selagi aku melihat kau masih memerlukan aku untuk memakainya. Walau pun kadang-kadang aku rasa berat dan rimas dengan topeng emosi ini.

??

Antara kita berdua

Ada bilik kosong. Di dalam bilik itu ada dua kerusi. Diletakan di dinding bilik secara bertentangan. Aku dan kau duduk di kerusi itu. Kita duduk mengadap antara satu sama lain. Saling memandang wajah, meneliti gerak gaya, tanpa kita bersuara.

Dalam bilik itu ada satu mentol lampu di atas siling. Berfungsi dengan baik. Tapi, mentol lampu itu berada lebih hampir dengan kau berbanding aku.

Bilik itu luas dan cahaya mentol lampu itu cuma dapat menerangi kau. Aku cuma dapat sedikit. Aku duduk dalam keadaan sedikit gelap dan kau melihat aku dalam kesamaran. Sebaliknya, kau berada di kerusi yang jelas untuk aku lihat.

Sampai satu masa, pintu bilik itu di buka. Kita bangun dan bergerak keluar dari bilik itu. Mengambil haluan masing-masing dengan aku mengenali kau lebih dari kau mengenali aku.

Sakit itu penghapus dosa? Mudah jika itu cuma bicara

Dua hari aku tak bermandi cahaya matahari. Matahari itu sentiasa ada. Cuma aku saja yang mengurungkan diri dalam rumah. Aku tengah sakit sekarang. Menulis ni pun mata tengah berair seperti menulis sebuah cerita emosi yang tersangatlah sedih dan meruntuh jiwa. Tapi adakah penulis yang mengalirkan air mata ketika menulis cerita sendiri?

Bila aku bagitahu yang aku tengah sakit pada manusia-manusia yang tahu sedikit agama atau buat-buat tahu tentang agama, mereka kata sakit itu penghapus dosa dan bawalah banyak-banyak bersabar. Jika aku cuba meminta sedikit perhatian pada manusia-manusia yang tak tahu agama atau buat-buat buta tentang agama, sakit itu perkara biasa dan makanlah ubat agar cepat sembuh. Aku menerima keduanya.

Aku jarang sakit tapi buat-buat sakit selalu. Agak takbur aku bicara. Sebab itu mungkin aku sakit. Takbur pada manusia kurang. Takbur pada tuhan, aku segan mahu mengaku.

Sebenarnya antibodi aku ni agak okey jika dibandingkan dengan kau barangkali. Antihati aku saja yang lemah. Harap esok pagi aku pulih. Aku mahu mandi matahari pagi.


* Sakit itu penghapus dosa. Tapi jika ketika sakit masih juga buat dosa, bagaimana kita mahu kira? Jarang aku jumpa orang yang tengah sakit tak buat dosa lagi sekarang ni. Aku antaranya. Dan kau juga.

Rasa yang pernah wujud

Seorang perempuan berjalan ke arah ku. Berbaju kebaya warna hijau muda. Dia mengerutkan dahi sambil tersenyum. Aku pun sama. Seakan-akan aku pernah rapat dengan dia. Tanpa sedar aku berkata, "kamu lawa". Betul, tanpa sedar aku berkata demikian. Dia gelak. Gelak penuh hairan.

Aku cuba mengingat. Aku seperti kenal dia. Kenal sangat. Dan sampai satu ketika dia bertanya jika nama aku adalah seperti yang dia kata. Aku tersenyum angguk kepala tanda betul, itu nama aku. Dan dia mula bercerita tentang aku pada aku dan juga pada kawan-kawannya. Cerita yang seperti baru saja berlaku.

Dia perempuan pertama yang aku tertarik. Ketika itu, aku belum pun akil baligh.

Tapi, dia masih ingat nama aku dan semua perkara yang lepas. Sampai ke sekolah mana aku berpindah pun dia masih ingat. Seperti aku juga. Walau payah untuk aku ingat nama itu pada mulanya. Tapi wajah itu aku kenal. Walau dah dua puluh tahun tak jumpa.

Cuma dia kata tadi, tak lama lagi dia akan kahwin.

"Aku mahu menjadi kanak-kanak semula. Sewaktu aku selalu bertengkar dengan dia dulu dalam bilik darjah."

##

Satu titik hitam di atas kertas putih

Aku tengah membilang dosa, satu persatu sejak aku akil baligh sampai ke hari ini. Aku cuba mengingati satu persatu. Tulis dengan pena yang ada dalam hati. Tapi sampai satu tahap, aku berhenti. Terlalu banyak. Mungkin takkan habis dibilang sampai mati. Malah ketika aku membilang dosa itu pun, aku masih melakukan dosa. Dosa memaki diri sendiri. Dan esok hari, aku sudah berkira untuk membuat dosa lagi. Jadi, aku buat kerja bodoh sebenarnya.

Pahala? Aku tak perlu susah payah membilangnya. Kalau aku bilang juga, itu namanya tak ikhlas.

Dunia ni, 100 kali kau buat baik dan sekali kau buat jahat, manusia akan cuma nampak satu yang jahat itu. 100 kali yang baik entah ke mana pergi, mereka akan butakan mata. Bila kau sendiri menyuarakan 100 kebaikan yang telah kau lakukan pada mereka, mereka kata kau tak ikhlas, mengungkit. Kemudian, kau berkata dalam hati, mereka bukan orang yang adil.

Dunia yang berat sebelah ini adalah perkara biasa. Aku rasa, tuhan pun setuju.

##

#

Aku rasa aku sedang bercinta. Cuma aku belum pasti. Seperti yang dulu, akulah yang mulakan. Dan seperti yang dulu, aku masih menunggu jawapan. Atau ianya sudah dijawab. Cuma aku yang buta tak melihat. 

Ragu-ragu. Takut hanyut dalam rasa sendiri. Sebab aku pernah merasa bagaimana hanyut dengan rasa sendiri. Memasang angan yang kosong semata. Menulis impian yang cumalah sekadar mimpi. Akhirnya, luka sendiri.

Lagi satu, dia sedang merangka untuk bergerak jauh dari tempat yang mudah untuk aku tuju. Mungkin jika hubungan ini menjadi, bakal ada satu lagi hubungan yang cuma bergantung pada suara dan tulisan mesej di handphone. Hubungan tanpa bersua muka. Tanpa sentuhan fizikal. Sebenarnya aku bosan dengan hubungan sebegitu. Hubungan sebegitu bukan mudah untuk dibuat. Apatah lagi dikekalkan.

Ada suara berkata, hubungan sebegitu boleh menjadi asalkan pegang pada kejujuran, ikhlas, setia, yakin dan macam-macam lagi perkataan untuk menyedapkan hati. Itu suara yang pernah aku dengar dulu. Dan aku ulangi, itu cuma untuk menyedapkan hati. Kesemua perkataan menyedapkan hati itu tidak akan dapat membuang dan menandingi satu perkataan. Cemburu.

Lihat, aku sudah mula memasang angan.  Sedangkan itu semua belum pasti.

Nafsu dan Cinta

Cinta yang didorong nafsu atau nafsu yang didorong cinta? Pilihlah mana satu. Aku rasa, semua manusia pernah merasa salah satu daripada dua itu. Walau pun sedikit. Dan aku, pernah merasa keduanya. Lebih sedikit dari sedikit.

Nafsu, itu pemberian tuhan. Hadiah kepada manusia. Dan hadiah itu dijadikan senjata paling ampuh oleh bekas si ketua malaikat, bernama syaitan. Senjata untuk menundukkan manusia.

Nafsu, malaikat pun tidak akan dapat menanggungnya. Lihat saja pada Harut dan Marut. Kedua malaikat itu dipilih dari kalangan malaikat yang paling tinggi amal ibadat kepada tuhan. Dipilih untuk diberikan nafsu yang ada pada manusia. Bukankah kedua malaikat itu tunduk juga pada nafsu?

Cinta? Bukankah itu satu rasa yang suci ada pada manusia? Suci sejak azali. 

Aku cuma manusia. Yang hidup dikelilingi nafsu. Yang bernafas kerana cinta. Kamu juga sama.

Cinta dan nafsu itu dua benda yang berbeza. Sebab aku lahir di dunia ini kerana cinta. Bukan kerana nafsu semata. Jika aku lahir di dunia ini kerana nafsu pun, itu nafsu yang ada redha dari tuhan.

Dan aku juga mahu berhenti bernafas dengan nafsu dan cinta yang ada redha dari tuhan.

"Dunia ini adalah beban. Dan aku dipilih tuhan untuk memikulnya. Seperti kamu semua. Mengapa kita yang dipilih? Sebab Allah tahu, tiada makhluk lain yang dicipta-Nya lebih kuat untuk menanggung beban dunia ini selain kita bernama manusia. Ringan atau berat beban itu, bergantung pada cara manusia itu mengawal nafsu. Cinta? itu hadiah. "

Diam itu kadang-kadang aku rasa berdosa

Aku seorang yang pendiam. Itu aku akui. Apa lagi jika berhadapan dengan manusia yang ada kuasa. Apa yang mereka kata, aku angguk. Aku turut. Aku setuju. Jika aku bantah, aku bantah dalam hati. Itu sifat aku.

Tapi itu dulu. Sampai satu ketika, aku sedar sesuatu. Diam itu menampakkan kelemahan. Dan kelemahan itu dipergunakan dengan baik oleh manusia yang ada kuasa. Kadang-kadang, yang tidak punya kuasa pun turut sama memijak. Itu lebih parah. Apatah lagi dengan dunia aku sekarang. Dari situ, aku belajar untuk bermasyarakat.

Dengan kawan-kawan, aku mahir untuk bergurau.

Cuma, dengan keluarga sendiri aku masih lagi pendiam. Seperti dulu-dulu. Sifat ini tidak akan dapat diubah. Sebab sifat diam ini bermula dari situ.

Mungkin aku perlu nikahi seorang perempuan untuk mengubah diam dengan keluarga sendiri. Kalau aku mati esok lusa sebelum ada perempuan yang aku nikahi, aku rasa aku bakal disambut oleh malaikat yang menjaga neraka.

Atau mungkin lebih sesuai jika aku katakan, diam aku ini sebagai ego? Ego yang melampau. Cuma seorang saja yang pernah cakap aku ini ego.

Cinta

Dulu aku pernah kandas. Beberapa kali. Kalau dibilang, ada lima semuanya. Semuanya menyedihkan. Menyakitkan.

Bagi aku, lima itu banyak. Tapi aku tidak berhenti. Aku cuba untuk yang ke-enam kalinya. Dan kandas juga. Jauh dalam hati, ada suara yang kedengaran. "itu sumpahan dari langit!".

Tapi, manusia mana yang dapat lari dari cinta?  Kalau ada, tunjukkanlah aku. Aku mahu jumpa. Aku mahu lihat jauh dalam matanya. Aku mahu kenal jiwanya. Kalau benar dia mampu lari dari cinta.

Aku tidak akan jemu. Aku tidak akan penat. Sakit macam mana sekali pun, cinta itu tetap indah bukan?

Aku mahu cuba kali ke-tujuh. Mungkin tujuh itu ada berkat. Seperti tujuhnya ayat al-fatihah. Tujuh pusingan kaabah. Tujuh petala langit.

Dia cinta ke-tujuh.

"aku bukan malaikat, itu sebab aku mahu bercinta."

Pertamanya

Aku bukan malaikat yang patuh seratus peratus pada tuhan. Aku juga bukan syaitan yang berani mencabar tuhan.

Aku punya dosa, punya pahala. Tapi aku mahu berakhir di dalam syurga. Tanpa singgah di neraka. Itu manusia, bukan?