#

Aku rasa aku sedang bercinta. Cuma aku belum pasti. Seperti yang dulu, akulah yang mulakan. Dan seperti yang dulu, aku masih menunggu jawapan. Atau ianya sudah dijawab. Cuma aku yang buta tak melihat. 

Ragu-ragu. Takut hanyut dalam rasa sendiri. Sebab aku pernah merasa bagaimana hanyut dengan rasa sendiri. Memasang angan yang kosong semata. Menulis impian yang cumalah sekadar mimpi. Akhirnya, luka sendiri.

Lagi satu, dia sedang merangka untuk bergerak jauh dari tempat yang mudah untuk aku tuju. Mungkin jika hubungan ini menjadi, bakal ada satu lagi hubungan yang cuma bergantung pada suara dan tulisan mesej di handphone. Hubungan tanpa bersua muka. Tanpa sentuhan fizikal. Sebenarnya aku bosan dengan hubungan sebegitu. Hubungan sebegitu bukan mudah untuk dibuat. Apatah lagi dikekalkan.

Ada suara berkata, hubungan sebegitu boleh menjadi asalkan pegang pada kejujuran, ikhlas, setia, yakin dan macam-macam lagi perkataan untuk menyedapkan hati. Itu suara yang pernah aku dengar dulu. Dan aku ulangi, itu cuma untuk menyedapkan hati. Kesemua perkataan menyedapkan hati itu tidak akan dapat membuang dan menandingi satu perkataan. Cemburu.

Lihat, aku sudah mula memasang angan.  Sedangkan itu semua belum pasti.

Nafsu dan Cinta

Cinta yang didorong nafsu atau nafsu yang didorong cinta? Pilihlah mana satu. Aku rasa, semua manusia pernah merasa salah satu daripada dua itu. Walau pun sedikit. Dan aku, pernah merasa keduanya. Lebih sedikit dari sedikit.

Nafsu, itu pemberian tuhan. Hadiah kepada manusia. Dan hadiah itu dijadikan senjata paling ampuh oleh bekas si ketua malaikat, bernama syaitan. Senjata untuk menundukkan manusia.

Nafsu, malaikat pun tidak akan dapat menanggungnya. Lihat saja pada Harut dan Marut. Kedua malaikat itu dipilih dari kalangan malaikat yang paling tinggi amal ibadat kepada tuhan. Dipilih untuk diberikan nafsu yang ada pada manusia. Bukankah kedua malaikat itu tunduk juga pada nafsu?

Cinta? Bukankah itu satu rasa yang suci ada pada manusia? Suci sejak azali. 

Aku cuma manusia. Yang hidup dikelilingi nafsu. Yang bernafas kerana cinta. Kamu juga sama.

Cinta dan nafsu itu dua benda yang berbeza. Sebab aku lahir di dunia ini kerana cinta. Bukan kerana nafsu semata. Jika aku lahir di dunia ini kerana nafsu pun, itu nafsu yang ada redha dari tuhan.

Dan aku juga mahu berhenti bernafas dengan nafsu dan cinta yang ada redha dari tuhan.

"Dunia ini adalah beban. Dan aku dipilih tuhan untuk memikulnya. Seperti kamu semua. Mengapa kita yang dipilih? Sebab Allah tahu, tiada makhluk lain yang dicipta-Nya lebih kuat untuk menanggung beban dunia ini selain kita bernama manusia. Ringan atau berat beban itu, bergantung pada cara manusia itu mengawal nafsu. Cinta? itu hadiah. "

Diam itu kadang-kadang aku rasa berdosa

Aku seorang yang pendiam. Itu aku akui. Apa lagi jika berhadapan dengan manusia yang ada kuasa. Apa yang mereka kata, aku angguk. Aku turut. Aku setuju. Jika aku bantah, aku bantah dalam hati. Itu sifat aku.

Tapi itu dulu. Sampai satu ketika, aku sedar sesuatu. Diam itu menampakkan kelemahan. Dan kelemahan itu dipergunakan dengan baik oleh manusia yang ada kuasa. Kadang-kadang, yang tidak punya kuasa pun turut sama memijak. Itu lebih parah. Apatah lagi dengan dunia aku sekarang. Dari situ, aku belajar untuk bermasyarakat.

Dengan kawan-kawan, aku mahir untuk bergurau.

Cuma, dengan keluarga sendiri aku masih lagi pendiam. Seperti dulu-dulu. Sifat ini tidak akan dapat diubah. Sebab sifat diam ini bermula dari situ.

Mungkin aku perlu nikahi seorang perempuan untuk mengubah diam dengan keluarga sendiri. Kalau aku mati esok lusa sebelum ada perempuan yang aku nikahi, aku rasa aku bakal disambut oleh malaikat yang menjaga neraka.

Atau mungkin lebih sesuai jika aku katakan, diam aku ini sebagai ego? Ego yang melampau. Cuma seorang saja yang pernah cakap aku ini ego.

Cinta

Dulu aku pernah kandas. Beberapa kali. Kalau dibilang, ada lima semuanya. Semuanya menyedihkan. Menyakitkan.

Bagi aku, lima itu banyak. Tapi aku tidak berhenti. Aku cuba untuk yang ke-enam kalinya. Dan kandas juga. Jauh dalam hati, ada suara yang kedengaran. "itu sumpahan dari langit!".

Tapi, manusia mana yang dapat lari dari cinta?  Kalau ada, tunjukkanlah aku. Aku mahu jumpa. Aku mahu lihat jauh dalam matanya. Aku mahu kenal jiwanya. Kalau benar dia mampu lari dari cinta.

Aku tidak akan jemu. Aku tidak akan penat. Sakit macam mana sekali pun, cinta itu tetap indah bukan?

Aku mahu cuba kali ke-tujuh. Mungkin tujuh itu ada berkat. Seperti tujuhnya ayat al-fatihah. Tujuh pusingan kaabah. Tujuh petala langit.

Dia cinta ke-tujuh.

"aku bukan malaikat, itu sebab aku mahu bercinta."

Pertamanya

Aku bukan malaikat yang patuh seratus peratus pada tuhan. Aku juga bukan syaitan yang berani mencabar tuhan.

Aku punya dosa, punya pahala. Tapi aku mahu berakhir di dalam syurga. Tanpa singgah di neraka. Itu manusia, bukan?