Zon selesa yang melekakan

Masa ni aku sedang berada di zon yang selesa. Segala-galanya tampak mudah. Tanpa perlu aku kerahkan tulang empat kerat aku. Tanpa perlu aku bersusah payah memerah akal. Cukup selesa. Hingga aku rasakan tubuh ini cukup berat untuk digerakkan. Zon selesa ini membuatkan aku menjadi malas. Kurang cergas. Akal pun kurang berfungsi rasanya. Bila akal kurang berfungsi, itu tanda tahap pemikiran aku bakal menjadi rendah. Dengan kata lain, menjadi bodoh.

Aku perlukan sesuatu yang baru. Suasana baru. Cabaran baru yang membuatkan otak aku kembali bekerja seperti sewaktu aku berada di zon tidak selesa dulu.

Ramai manusia seagama disekeliling aku leka dengan zon selesa mereka masing-masing. Sampai lupa yang mereka sudah ketinggalan. Ketinggalan dari segi harta dan ilmu.Yang dibanggakan cuma cerita keagungan zaman yang dah berkurun berlalu sedangkan di zaman nyata ini cumanya menjadi pak turut dan mat jenin banyaknya.

Untuk kau dan juga untuk aku, jangan jadi leka. Jangan malas. Biar berani mencabar diri, jangan hanyut ditelan ilusi.

??

Topeng emosi

Aku sentiasa memakai topeng. Topeng emosi. Bagi menyorok segala kecacatan yang ada pada emosi aku. Dengan topeng itu, aku akan lebih stabil bila berhadapan dengan kau, dengan dia, malah dengan siapa-siapa saja.

Mungkin topeng emosi itu akan kau gelar sebagai hipokrit.

Mungkin juga topeng emosi itu akan kau gelar sebagai pengecut.

Kau gelar apa saja yang kau suka. Selagi topeng emosi itu mampu membuatkan kau merasa selesa dengan kehadiran aku sebagai manusia ketika ini, aku tidak kisah. Selagi topeng itu mampu kau pandang indah macam pelangi yang ada tujuh warna, tanpa ada satu garisan hitam yang membuatkan kau merasa gelap dan kelam.

Aku yakin di luar sana, ada ramai yang memakai topeng emosi seperti aku. Walau pun ada yang tak menyedari mereka sedang memakainya. Malah sampai satu ketika bila mereka sedar akan topeng emosi mereka itu, mereka terduduk lalu menyalahkan tuhan.

Aku harap aku tak akan sampai tahap sebegitu. Menyatakan diri aku ini sempurna dihadapan kau sedangkan aku cuma seorang manusia biasa yang menyembunyikan emosi dibalik satu topeng yang kau pandang cukup sempurna.

Mungkin pada satu ketika nanti, kau sedar akan topeng yang aku pakai ini. Itu pun kalau kau mampu menggunakan akal yang waras dan menilai aku dengan betul.

Dan aku takkan berhenti menggunakan topeng emosi ini sampai mati selagi aku melihat kau masih memerlukan aku untuk memakainya. Walau pun kadang-kadang aku rasa berat dan rimas dengan topeng emosi ini.

??

Antara kita berdua

Ada bilik kosong. Di dalam bilik itu ada dua kerusi. Diletakan di dinding bilik secara bertentangan. Aku dan kau duduk di kerusi itu. Kita duduk mengadap antara satu sama lain. Saling memandang wajah, meneliti gerak gaya, tanpa kita bersuara.

Dalam bilik itu ada satu mentol lampu di atas siling. Berfungsi dengan baik. Tapi, mentol lampu itu berada lebih hampir dengan kau berbanding aku.

Bilik itu luas dan cahaya mentol lampu itu cuma dapat menerangi kau. Aku cuma dapat sedikit. Aku duduk dalam keadaan sedikit gelap dan kau melihat aku dalam kesamaran. Sebaliknya, kau berada di kerusi yang jelas untuk aku lihat.

Sampai satu masa, pintu bilik itu di buka. Kita bangun dan bergerak keluar dari bilik itu. Mengambil haluan masing-masing dengan aku mengenali kau lebih dari kau mengenali aku.

Sakit itu penghapus dosa? Mudah jika itu cuma bicara

Dua hari aku tak bermandi cahaya matahari. Matahari itu sentiasa ada. Cuma aku saja yang mengurungkan diri dalam rumah. Aku tengah sakit sekarang. Menulis ni pun mata tengah berair seperti menulis sebuah cerita emosi yang tersangatlah sedih dan meruntuh jiwa. Tapi adakah penulis yang mengalirkan air mata ketika menulis cerita sendiri?

Bila aku bagitahu yang aku tengah sakit pada manusia-manusia yang tahu sedikit agama atau buat-buat tahu tentang agama, mereka kata sakit itu penghapus dosa dan bawalah banyak-banyak bersabar. Jika aku cuba meminta sedikit perhatian pada manusia-manusia yang tak tahu agama atau buat-buat buta tentang agama, sakit itu perkara biasa dan makanlah ubat agar cepat sembuh. Aku menerima keduanya.

Aku jarang sakit tapi buat-buat sakit selalu. Agak takbur aku bicara. Sebab itu mungkin aku sakit. Takbur pada manusia kurang. Takbur pada tuhan, aku segan mahu mengaku.

Sebenarnya antibodi aku ni agak okey jika dibandingkan dengan kau barangkali. Antihati aku saja yang lemah. Harap esok pagi aku pulih. Aku mahu mandi matahari pagi.


* Sakit itu penghapus dosa. Tapi jika ketika sakit masih juga buat dosa, bagaimana kita mahu kira? Jarang aku jumpa orang yang tengah sakit tak buat dosa lagi sekarang ni. Aku antaranya. Dan kau juga.

Rasa yang pernah wujud

Seorang perempuan berjalan ke arah ku. Berbaju kebaya warna hijau muda. Dia mengerutkan dahi sambil tersenyum. Aku pun sama. Seakan-akan aku pernah rapat dengan dia. Tanpa sedar aku berkata, "kamu lawa". Betul, tanpa sedar aku berkata demikian. Dia gelak. Gelak penuh hairan.

Aku cuba mengingat. Aku seperti kenal dia. Kenal sangat. Dan sampai satu ketika dia bertanya jika nama aku adalah seperti yang dia kata. Aku tersenyum angguk kepala tanda betul, itu nama aku. Dan dia mula bercerita tentang aku pada aku dan juga pada kawan-kawannya. Cerita yang seperti baru saja berlaku.

Dia perempuan pertama yang aku tertarik. Ketika itu, aku belum pun akil baligh.

Tapi, dia masih ingat nama aku dan semua perkara yang lepas. Sampai ke sekolah mana aku berpindah pun dia masih ingat. Seperti aku juga. Walau payah untuk aku ingat nama itu pada mulanya. Tapi wajah itu aku kenal. Walau dah dua puluh tahun tak jumpa.

Cuma dia kata tadi, tak lama lagi dia akan kahwin.

"Aku mahu menjadi kanak-kanak semula. Sewaktu aku selalu bertengkar dengan dia dulu dalam bilik darjah."

##

Satu titik hitam di atas kertas putih

Aku tengah membilang dosa, satu persatu sejak aku akil baligh sampai ke hari ini. Aku cuba mengingati satu persatu. Tulis dengan pena yang ada dalam hati. Tapi sampai satu tahap, aku berhenti. Terlalu banyak. Mungkin takkan habis dibilang sampai mati. Malah ketika aku membilang dosa itu pun, aku masih melakukan dosa. Dosa memaki diri sendiri. Dan esok hari, aku sudah berkira untuk membuat dosa lagi. Jadi, aku buat kerja bodoh sebenarnya.

Pahala? Aku tak perlu susah payah membilangnya. Kalau aku bilang juga, itu namanya tak ikhlas.

Dunia ni, 100 kali kau buat baik dan sekali kau buat jahat, manusia akan cuma nampak satu yang jahat itu. 100 kali yang baik entah ke mana pergi, mereka akan butakan mata. Bila kau sendiri menyuarakan 100 kebaikan yang telah kau lakukan pada mereka, mereka kata kau tak ikhlas, mengungkit. Kemudian, kau berkata dalam hati, mereka bukan orang yang adil.

Dunia yang berat sebelah ini adalah perkara biasa. Aku rasa, tuhan pun setuju.

##