Dulu hati aku pernah mati

Suatu ketika, aku pernah mengatur langkah kaki aku menuju neraka. Dengan sedar. Kerana jiwa aku lelah putus asa pada syurga. Rasa aku mati pada apa yang kalian gelarkan sebagai cinta. Cinta yang membuatkan aku buta pada dunia. Cinta yang membuatkan aku jatuh dan menghina setiap hati yang ada di sisi.

Aku menyalahkan tuhan. Aku naif. Bukan pada agama, tapi naif pada harga diri sendiri. Naif pada kekuatan hati. Pernah terlintas untuk aku mengambil alih tugas Izrail menghentikan nadi aku sendiri bila merasakan dunia sepertinya memalingkan muka dari aku. Cumanya aku pengecut. Tiada keberanian seberani manusia lain yang lebih lemah dan bodoh dari aku.
Atau, aku masih percaya pada tuhan walau ketika itu aku menyalahkan Dia dan mengeji takdirNya. Mungkin di situ bezanya aku dan mereka-mereka yang lebih berani bertemu secara terus dengan Zabaniah.

Lipatan sejadah di penjuru bilik membuatkan aku hidup dan kembali waras pada akal waktu itu.

Aku diajar, asalnya malaikat itu dari cahaya.
Aku diajar, sifatnya malaikat itu patuh dan setia.
Tapi aku lupa apa itu cahaya.
Aku keliru apa sebenarnya patuh dan setia
Melihat manusia yang lalai terjerat dengan cinta sementara
Terbuai, alpa pada anugerah indah yang fana
Menghamparkan permaidani merah menuju pintu neraka.

Aku diajar dan belajar,
Cinta manusia ini lemah dan sementara sifatnya.
Namun, aku tetap percaya, 
Cinta di syurga itu pasti ada
Lebih hebat dari dunia.


Bercinta itu indah, bukan? Membuatkan hati aku akan hidup selama-lamanya. Selagi aku mahu memandang ke arah syurga.

#Benci si kerdil

Kaku membisu pada fizikal aku. Makhluk sekeliling menuding jari pada gaya yang melulu.

"Ya!!..serahkan saja beban-beban dunia kamu itu pada aku yang membatu." bicara si boneka kerdil yang dipijak beberapa boneka gergasi.

Jika aku yang terpilih menerima yang hitam sedangkan putih untuk kamu, gembiralah hati-hati kamu siang dan malam tanpa jemu. Mana mungkin kamu jemu, memerhati sang boneka dimainkan si boneka yang lain dengan jiwa dan akal yang celaru.

Tersedar. Melihat ke atas sana. Mengharapkan DIA masih mahu melihat aku si boneka kerdil di bawah sini.

Hubungan

Di satu sisi, kau akan melihat tingkah gaya dan luah suara aku terarah pada satu yang bertentangan dari arah yang kau fikirkan. Bukanlah hipokrit yang aku hulurkan secara paksa untuk kau telan. Cuma watak lakonan yang biasa aku bawakan di atas pentas hubungan antara insan seperti kau. Kadangkala menolak insan diasak dengan ujian ke hujung batas kesabaran. Kesabaran, aku letakkan kesabaran itu pada tangga yang paling tinggi. Aku simpulkan kemas pada ikatan mula dalam setiap tali yang aku ingin ikatkan pada hati aku sendiri.

Makhluk ciptaan bernama manusia ini bukanlah sempurna seperti yang menciptakan. Pada hari ini aku tersenyum melihat kau umpama malaikat. Esok hari kau mengubah diri umpama syaitan membuatkan senyuman hari semalam aku kesalkan. Itu suatu hubungan sesama manusia ciptaan tuhan. Pasti ada pasang, ada juga surutnya seperti lautan. Dan lautan itu sifatnya luas dari daratan.

Namun, sekiranya kesabaran itu di beri ruang dan masa dalam sebuah ikatan perasaan antara aku dan kau, tidak akan tergugatnya hati bila minda diperangkap dengan emosi yang celaka. Tiap yang rasanya pahit untuk ditelan, jauh sekali menggoncang suatu perhubungan dan ikatan. Itu jika ada kesabaran.

Sempurnanya suatu ikatan bukan didasarkan pada kekayaan. Bukan pada paras rupawan yang sepadan. Bukan memilih pangkat dan darjat yang setandingan. Pada aku, ianya sempurna bilamana aku dan kau sudah saling melengkapkan. Saling memerlukan.

Cemburu. Apa itu benar cemburu semulajadi yang muncul dalam hati setiap insan? Atau sekadar cemburu yang dijadikan jalan mencari alasan? Perasaan itu hadir menyapa aku dengan cuma membawa sebab. Sebab yang aku pelajari dari pengalaman, pemerhatian, pendengaran, kewarasan fikiran dan prarasa yang dimiliki oleh setiap makhluk bernama insan.

Diam

Dengan tangan di dada, izinkan aku untuk bicara. Bicara pada diri. Tanpa terlintas niat memuliakan hati.

Aku empunya beberapa wajah, yang berpijak di dunia maya. Dunia yang ada riak gelombangnya. Gelombang yang mampu menggoncang jiwa. Dengan pelbagai bentuk bicara tanpa aku kenal si empunya wajah. Si empunya yang pasti sama seperti aku, dilindungi malaikat Hafazhah.

Ada yang membuat aku senyum terpesona melihat betapa indah bait-bait kata. Ingin aku berikan kata puji si empunya wajah, aku segan rasanya. Cukup sekadar aku memuji dari hati yang bersembunyi. Hati yang asyik melihat kalian dari jauh. Pada kalian si empunya wajah, yang indah tutur bicaranya, yang manis aku merasa, aku ucapkan tahniah. Terima kasih, kalian mencorak hati dengan warna pelangi.


Namun sudah menjadi lumrah pada dunia. Pasti ada watak hitam yang menikam jiwa. Yang buruk pada bicara. Bait-bait kata bercorak celaka. Meninggikan neraka di atas paras syurga. Mahu aku mencela pada si empunya wajah, aku sendiri berjiwa lara. Malu aku mengaku mulia.

Lantas aku cuba merasa setiap kata. Kata-kata lakonan di pentas maya. Bicara kata yang ditolak si hati mulia. Kata-kata hitam yang membunuh minda si hati mulia. Si hati mulia yang mencemuh menjaja nama. Yang lupa dia manusia berjiwa buta.

Pada kalian yang berhati mulia, jangan dilupa kaki berpijak di alam maya. Yang punya pelbagai rasa. Yang punya berjuta wajah. Jangan terus menyimpulkan kata, mengikut hati melupakan minda.

Aku tunduk mendiamkan diri. Tanpa bersuara aku memuji, memalingkan muka dari mengeji. 

Diam itu lebih sempurna rasanya. Dan jangan lupa berdoa baik pada saudara-saudara kalian. Biarpun bersembunyi tanpa diketahui. Itu lebih makbul.