Dulu hati aku pernah mati

Suatu ketika, aku pernah mengatur langkah kaki aku menuju neraka. Dengan sedar. Kerana jiwa aku lelah putus asa pada syurga. Rasa aku mati pada apa yang kalian gelarkan sebagai cinta. Cinta yang membuatkan aku buta pada dunia. Cinta yang membuatkan aku jatuh dan menghina setiap hati yang ada di sisi.

Aku menyalahkan tuhan. Aku naif. Bukan pada agama, tapi naif pada harga diri sendiri. Naif pada kekuatan hati. Pernah terlintas untuk aku mengambil alih tugas Izrail menghentikan nadi aku sendiri bila merasakan dunia sepertinya memalingkan muka dari aku. Cumanya aku pengecut. Tiada keberanian seberani manusia lain yang lebih lemah dan bodoh dari aku.
Atau, aku masih percaya pada tuhan walau ketika itu aku menyalahkan Dia dan mengeji takdirNya. Mungkin di situ bezanya aku dan mereka-mereka yang lebih berani bertemu secara terus dengan Zabaniah.

Lipatan sejadah di penjuru bilik membuatkan aku hidup dan kembali waras pada akal waktu itu.

Aku diajar, asalnya malaikat itu dari cahaya.
Aku diajar, sifatnya malaikat itu patuh dan setia.
Tapi aku lupa apa itu cahaya.
Aku keliru apa sebenarnya patuh dan setia
Melihat manusia yang lalai terjerat dengan cinta sementara
Terbuai, alpa pada anugerah indah yang fana
Menghamparkan permaidani merah menuju pintu neraka.

Aku diajar dan belajar,
Cinta manusia ini lemah dan sementara sifatnya.
Namun, aku tetap percaya, 
Cinta di syurga itu pasti ada
Lebih hebat dari dunia.


Bercinta itu indah, bukan? Membuatkan hati aku akan hidup selama-lamanya. Selagi aku mahu memandang ke arah syurga.

5 comments:

Mehmed - said...

benar, cinta tak mati selagi kita percaya.

Sutera_suci said...

Kamu..bait-bait katamu membuatkan saya kaku untuk berkata-kata dan termenung lama.

Lee Zha said...

aku faham..tapi biar yg lepas jadi panduan untuk kita nanti. cinta manusia, jangan lupa selitkan dengan redha. insyaAllah kau takkan menyimpang. :)

Lucifer said...

Hati aku tak pernah mati, yang matinya adalah jiwa emansipasi anjakan pemikiran.

Seroja Jingga said...

dan hati aku sedang hmpir mau mati