Di jalanan

Di jalanan kaki melangkah pandang ke bawah. Penuh hati-hati. Tanpa aku berhenti, kedengaran suara-suara sapaan sumbang di tepi jalan. Tiada peduli aku melangkah tetap pandang ke bawah. Tanpa sedikit pun aku mengangkat kepala memandang empunya-empunya suara. Malu aku melihat lakonan insan-insan yang memualkan melontar suara di tepian jalan.

Namun, perlahan mana pun aku berjalan, teliti mana pun setiap langkahan, tetap juga aku terpijak duri dan kotoran. Yang membuatkan langkah kaki aku mati seketika.

Mungkin itu telah ditetapkan Dia yang menjadi raja duduk memerhati aku dari atas singgahsana. Agar dapat aku berehat sejenak dari perjalanan yang masih samar destinasi penghujungnya. Agar dapat aku menoleh kebelakang seketika memerhati tapak-tapak kaki yang aku tinggalkan. Melihat corak langkahan yang bukanlah sempurna dan selurus jalan yang aku gunakan.

Atau mungkin ianya sebagai ujian pada aku untuk berasa syukur apa itu kesakitan tertusuk duri dan dipalit kotoran sepanjang perjalanan. Ujian yang selalu aku gagalkan bila aku cuma tahu apa itu mengeluh keji. Sedangkan aku tahu aku berjalan bukannya sendiri. Ada sayap pelindung setia memayungi tanpa berasa letih mendengar ayat-ayat seni bernada caci.

Harapnya sayap pelindung itu akan terus setia memayungi tanpa mengibarkan sayapnya terbang meninggalkan aku sendiri menahan panas bahang mentari dan basah kuyup curahan hujan menimpa diri. Pada ketika itu, pasti aku mendongak kepala memandang langit menyumpah kebodohan sendiri.

4 comments:

Pena Marhaen said...

teruslah melangkah dan jangan kamu hirau "dunia" keliling selain dari dirimu sendiri dan agamamu.

Mawar Berduri said...

sayap pelindung akan setia memayungi dirimu. dia akan setia.

monologtinism said...

Dia yang menetapkan segala buat hamba-hamba
tidak mungkin walau sedetik sesaat pun sayap pelindung meninggalkan kau kerana jika Dia buat begitu barangkali kau tidak lagi bernafas ddalam pentas dunia penuh topengan ni

ghost writer said...

kamu juga punya sayap,terbanglah..dan perolehi kehidupan dari itu.