Irama sang bisu

Betapa gemersik alunan irama
Betapa syahdu melodi bergema
Masih kaku aku membeku
Irama nan syahdu nyanyian sang bisu
Jadi melodi mati pada hati.

Acap kali suara mempersona
Mainan lidah mengait kata
Buai diri terapung di udara
Sampai lupa apa itu tanah.

Tunggu.
Satu tika bila terkesima.

Tunggu.
Satu saat bila terhina.

Sedar diri bukan pegang nyawa.
Sedar hati bukan pegang mulia.

Tunggu.
Bila rasa apa itu jatuh.

Tunggu.
Bila jasad sudah terkujur.

Malaikat maut sudah sedia.
Sampai masa rentap jiwa.


Ada di antara malam

Ada di antara malam, turunlah para pemilik sayap-sayap yang menjadi payung pada manusia. Memenuhi ruang angkasa. Dengan membawa satu rasa dan khabar gembira dari langit. Cumanya, mereka juga bisa dingin. Dingin pada jiwa yang celaka.

Ada di antara malam, jiwa itu dipukul dihentak dipijak sampai tersungkur. Dongak kepala, pandang satu cahaya. Izrail sudah berlabuh bersiap rentap nyawa. Nadinya berhenti, jantungnya mati.

Tergantunglah jiwa di antara syurga dan neraka. 
Menunggu si Penguasa putus bicara.

Ada di antara malam, di pintu itu Ridhwan bertanya, kau mahu ke mana?
Aku mahu ke syurga.
Ridhwan paling muka dengan senyuman yang durja.

Ada di antara malam, di pintu itu Malik bertanya, kau mahu ke mana?
Aku tidak layak di syurga.
Malik hampa riaknya murka. 
Di bukanya pintu tinggallah jiwa bersama Zabaniah.

Dan ada di antara malam, jiwa itu kembali terjaga. Merenung dan memandang dunia nyata yang celaka. Lalu bangunlah dia merebut masa yang tersisa. Menanti gerombolan pemilik sayap penuhi semula ruang angkasa. Menagih sedikit cahaya.
Mungkin, ini buat terakhir kalinya.


Titik Buta

Seluhur hati setulus jiwa, tetap ada sudut yang cela. Sisi diri yang sedaya disisih. Disorok dari mata yang cuba dipesona dengan serakan warna indah kehidupan si-empunya dunia.

Adakalanya wujud ketidakpuasan hati. Diselongkarlah semahu diri. Dipecahkan kunci segala peti. Dicarilah segala apa yang dicari.

Duduknya mula tak senang. Hatinya mula tak lenang. Akalnya mula dirasuk berang.

Lalu dimainkanlah melodi emosi. Digerakkan kaki seriang hati. Tanpa sedar pandangannya dialih. Dari satu sudut yang tersembunyi.  

Dari satu sisi hidup yang telah dikunci.

Ini rumah kita

Hubungan aku dan kau, ibaratnya sebuah rumah.
Terbinanya dengan akal. Mungkin runtuhnya dengan nafsu.

Aku mengawasi pintu rumah ini dengan rasa yang tegar.
Agar tiada bahaya yang masuk menjalar.
Tak kiralah apa pun aku digelar.
Aku jauhkan mati di kala sedar.

Berpijak kaki di bumi nyata, telaah hidup dari sejarah.
Setegar mana pun aku berjaga, tak ternafi yang punya kuasa.

Oleh sebab itu, dengan diplomasi pintu rumah ini kita kunci.
Dan anak kunci itu, tanpa diplomasi pada kau aku beri.
Sepenuhnya ruang diberi untuk kau memilih.
Kekal di sini, atau pun pergi.

Tanpa paksaan.

Cuma, seharusnya kau patut tahu.
Aku mahukan kau kekal di rumah ini.
Bersama aku sampai mati. 

Penebusan

Kini aku sekali lagi bernyawa untuk ke-puluhan kalinya di bulan penebusan dosa. Masih bernafas dengan udara dunia. Masih diberi belas kasihan oleh si Pencipta. Makhluk kerdil seperti aku ini sentiasa mengharapkan belas kasihan dari yang Perkasa. Itulah hukum. Tanpa perlu aku sanggah.

Malaikat di langit rasanya bahagia untuk menebarkan sayap-sayap turun ke pentas bumi mendampingi si manusiawi. Apatah lagi pada malam yang dijanji. Menghampiri si hamba yang lemah menadah tangan di malam hari. Mengharapkan segala catatan hitam bersih menjadi putih. Mengharapkan janji si pencipta-nya dilunas dengan hidup yang indah di dunia abadi.

Aku, kau dan kalian semua. Hamparkan sejadah. Dengan tuhan kita bicara. Tebuskan segala dosa.

Aku, kau dan kalian semua. Ikhlaskan jiwa, tuluskan hati. Malam dijanji kita nanti.

Salam Ramadhan untuk kalian semua.