Percubaan gila

Ketika ini, aku sedang melalui suatu pengembaraan. Pengembaraan yang aku ciptakan di dalam putaran akalku sendiri. Suatu perjalanan fantasi yang membuatkan aku menyisih dari realiti. Aku mahu merasa bagaimana rasa seorang penulis dapat menghasilkan sebuah kisah yang panjang perjalanannya. Sampai beratus halaman jaraknya.

Ini adalah percubaan gila rasanya. Percubaan yang membuatkan tidur malam aku jadi tak lena. Percubaan yang memerangkap aku dalam lautan aksara. Sampaikan aku seakan-akan mahu lemas. Walhal, kisah yang dituliskan bukanlah seberapa.

Banyak yang berputar dalam minda, tapi bila aku cuba menggerakkan pena, aku membeku. Mahu menggerakkan satu ayat pun amat payah. Adakala, ianya lancar mengalir seperti air. Seakan-akan tidak mahu berhenti sampai pagi. Mungkin, itu yang dikatakan oleh sebilangan orang bijak pandai sebagai mood?

Kini baru aku mengerti, apa yang dikatakan oleh seorang sasterawan tentang penyeksaan yang akan dilalui oleh setiap penulis dalam menghasilkan sebuah kisah. Apatah lagi kisah pertamanya. Tapi itu ditujukan untuk penulis yang betul-betul ada jiwa penulis. Sedangkan aku ini bukanlah seorang yang boleh digelar sebagai penulis lagi. Cuma seorang penconteng dinding malam dengan mata pena yang suram cahayanya.

Disebabkan itu, ruang ini seakan-akan mati. Jarang terpalit dengan rasa, mahu pun kisah yang dapat aku ceritakan dan kongsikan. Kecuali untuk yang satu ini.

*bila aku mengulang baca apa yang aku kisahkan, terbit rasa malu dan segan untuk melemparkannya pada mata-mata manusia. Apa itu semulajadi? Atau aku sendiri yang tidak mampu untuk berpuas hati barangkali.