Bukan di mata

Seawal pagi saya menapak ke tengah kota
bawa obor nyala lebih dari matari
untuk kamu lihat saya
bukanlah halimunan 1000 tahun lamanya.

Semarak api obor
terang sampai langit
sayang kamu tak nampak
sedang langit riuh sorak






Patah seribu dari yang satu

Adalah sukar untuk mencintai seorang lelaki yang malamnya hanya bergelumang dengan aksara. Dan siangnya sentiasa terpukul dengan arus dunia yang entah ke mana hala-tujunya.

Atau -hakikatnya- aku sendiri yang telah lupa bagaimana untuk bercinta.


Kesedihan bukan suatu yang indah

Bila bersamaku hanyalah kesedihan
rentangkanlah sayap-sayap mu.
Terbanglah.
Terbanglah ke arah pelangi itu.
Dengan rasa senang.
Dan tinggalkan rasa sayang
buat menemani aku
untuk lebur di dalam waktu.

Seketul hati yang melayang

Dalam kehidupan-nya orang, ada kepedihan yang tak terfahamkan
Walau hati terbang melayang.

- Aku dimaki bayang sendiri
  Menghalau aku untuk pergi.
  Tanpa hati yang sudah hilang.
  Menjadikan aku orang yang jalang -


Sesak

Akan ada satu ketika, bila kau menatap refleksi dirimu sendiri di cermin kaca, hatimu penuh dengan rasa amarah, kecewa dan ingin pupus dari dunia. Barangkali, pada saat itu, apa yang kau lihat di cermin kaca itu adalah seorang manusia yang berkepala keldai.

Dunia yang aku diami kini amat menyesakkan perasaan. Dipenuhi dengan manusia-manusia yang bukan manusia. Mungkin, aku patut beralih ke dunia lain.

Tenggelam

Hari mendung. Hujan belum turun.
Di sini aku berdiri dalam kegusaran. Kegelapan. Aku malu ditayang tuhan.
Kau tertawa dengan sekaki payung di genggaman. Dalam keterangan. Penuh kegembiraan.
Pada satu garisan halimunan yang memisahkan.


Hari mendung. Hujan belum turun.
Dalam rasa yang bercampur, aku menghirup nikmat tuhan. 
Walau tanpa secebis keindahan memalit tubuhku. Aku malu ditayang tuhan.
Tawamu surut perlahan-lahan. Berdiri dengan sekaki payung di genggaman.

Hari mendung. Hujan belum turun.
Aku sudah tenggelam. Pada nama yang tiada erti. Pada jiwa yang penuh benci.
Kau diam menatap aku yang mulai hilang. Malu ditayang tuhan.
Sekaki payung jatuh dari genggaman. 

Hari mendung. Hujan sudah turun. 
Kau basah keseorangan.
Air mata berlinangan.


Penulis

Bukanlah aku seorang penulis. Apatah lagi seorang novelis.
Aku, hanyalah daun kering yang gugur dan terbang ditolak angin ke jalanan.
Dipijak. Pada nasib yang baik, disapu dengan penyapu kayu.
Syukur, jika aku terpinggir ke tanah. Mereput dan jadi bahan baja.

Aku, memulakan segala-galanya dengan hati yang patah.

Mimpi

Mimpiku jauh. Terlalu jauh untukku habisi. Seperti ia tak akan pernah berakhir selagi jasadku di kandung badan. Selagi ada malam-malam yang aku lenakan.

Mimpiku jua dekat. Terlalu dekat untukku sekat. Menyesakkan ruang-ruang malamku yang sedikit. Menggasak lenaku yang sempit.

Mimpiku itu adalah teman yang paling setia bila gelap mulai menghinggap. Pegang watak protagonis yang membawa cahaya.

Mimpiku itu jua, adalah teman yang dapat selingkuh sesuka-suka hatinya. Dipakaikan watak antagonis yang membawa lara.

Dari mimpi-mimpi yang infiniti, satu telah ku tawan. Menjadikannya hidup di dunia kenyataan. Sebuah mimpi yang akan aku banggakan hingga malam-malamku menghilang. Yang dapat aku kongsikan pada insan-insan bernama kawan.

Tuhan, terima kasih untuk mimpi-mimpi malam.

Suka

Hidup aku hanya untuk manusia yang suka.
Aku kongsikan segala-galanya.
Senang dan tawa
Biar hidup sendiri masih melata.

Ianya kesenangan.
Sebuah kemenangan.
Suatu kepuasan.
Yang tak akan dapat aku beli dari mana-mana.
Walau dalam mimpi-mimpiku sekali pun.

Benci akan tersisih.
Ghaib dari pandangan mata.
Pupus dari rasa.
Kerana,
hidup aku hanya untuk manusia yang suka.

Aku bukanlah malaikat.

Darah di dada

Aku membiarkan dia menoreh dadaku dengan pisau cinta.
Darah mengalir, dia tertawa.
Basah di kakiku. Kering di ubunanku.
Tawanya tak akan reda sampai akhir dunia.
Dia
kian menjauh pergi. Tinggal aku sendiri.
Sang khalak melihat aku mati
tanpa simpati.
Matahari
tak akan terbenam lagi.


Perginya seketika

Sang bidadari.
Aku merenung dari jauh 
Sedikit aku cuba merasa segala sendu.
Sungguh
Kisah nyatamu itu menyentuh kalbu
Getir dan pilu.
Moga. Kau kuat. Lepaskan derita. Taut kembali bahagia.
Kerana. Dia pergi hanya seketika.

Doa.
Dia mencium bau syurga
Hidup selama-lamanya...

Masa

Masa, menggigit-gigit.
Sedikit demi sedikit.
Sampai waktu, lenyapnya tiada tahu.
Sedar-sedar, nyawa sudah di tenggorokan.
Roh melayang, jasad pun kaku.
Nama tertancap di nisan batu.

Air mata si polan turun bak hujan.
Sisanya hanya kenangan.
Pada jiwa-jiwa yang tertawan.
Dunia, dilepaskan.

Sinar

Kau berlari ke gigi langit dengan hati yang punah. Mengejar matahari yang bersinar. Namun kudrat tak kesampaian. Kau lelah dan dihinggap gelap malam yang diisi dengan benci. Oleh kau sendiri.

Percayalah, ada sinar yang akan muncul semula. Asal kau belum mati kerana hati. Dan malaikat-malaikat cinta pun enggan meratapi.




Atas arahan tuhan

Dia tertunduk ke bumi dengan tapak kakinya yang berdarah, selepas melalui satu jalan yang dipenuhi nista dunia setajam serpihan kaca. Cuba mendongak beberapa kali, tak tertahan olehnya silau cahaya yang menerangi alam semesta. Cahaya yang muncul dari puluhan, ribuan malah tidak mustahil jua jutaan malaikat-malaikat tuhan. Firasatnya, dia disambut gembira oleh mereka. Sedangkan dia tidak mengetahui bahawa puluhan, ribuan malah tidak mustahil jua jutaan anak panah dari neraka sedang dihalakan ke tubuhnya oleh malaikat-malaikat itu. Atas arahan tuhan, dia bakal mati sebelum sempat melihat syurga.

Dia masih tertunduk ke bumi, dengan senyuman. Tanpa meminta belas simpati.

Fiksyen

Aku memikirkan, apa yang telah terjadi, sedang terjadi dan bakal terjadi dengan hidup aku ini. Dengan perasaan yang huru-hara. Dengan jiwa yang kehilangan arah.

Barangkali, hidup ini hanya sebuah fiksyen. Fiksyen dari tuhan.

...

Aku bukanlah malaikat yang turun ke dunia ini membawa warna-warna pelangi.
Aku ini manusia. Yang hanya ada warna hitam dan putih.
Aku memikul beban gembira
sambil mengheret sekarung hiba.

Depressi

Dia gelisah. Kadangkala dia jadi hiba. Entahnya kenapa.
Dia merasakan, seperti ada gumpalan awan masalah di langit sana. Sudah mulai menghitam.
Dengan guruh yang berdentum-dentum dan kilat sabung menyabung
Cuma menunggu masa saja,
titisan hujan masalah jatuh menitik satu persatu menimpanya.
Hingga dia basah dalam kekontangan.

Dia gelisah.
Barangkali, dia depressi.

Entahnya kenapa.
Sang malaikat, enggan mendekat.

Dunia

Aku jatuh terbaring di situ.
Jadi kaku. Jadi beku. Aku koma.
Dunia, kau yang menolak aku sampai aku terjatuh.
Sehinggakan, aku merasakan tiada daya untuk aku bangkit kembali.
Relanya, aku hanya ingin terus koma di situ.
Melelapkan mata.
Mematikan pita suara.
Melumpuhkan setiap pancaindra.

Tapi,
Ini dunia yang banyak drama.
Dan aku belum lagi berada di titik noktah.

Titik?
Aku benci perkataan itu.

.

Aku mendongak ke atas sana. 
Tatap langit yang dihiasi bulan dan bintang. 
Menanti sang matahari muncul di ufuk timur dengan senyuman. 
Bila matahari tergelincir sedikit dari kepala ku, 
dan awan-awan mulai bergerak perlahan, 
melindungi alam dan menutup separuh matahari, 
lalu turunlah hujan membasahi bumi. 

Seketika, hujan reda.
Muncul sang pelangi dilatari langit biru dan kapas-kapas putih. 
Aku tersenyum sekali lagi. 

Aku bicarakan kepada mereka tentang keindahan bintang, bulan, matahari dan pelangi. Sedangkan aku alpa tentang bumi. Iya, bumi. Tempat aku berpijak kini. Tempat yang menjadi realiti.
Tanpa sedar, tanah tempat ku berdiri menatapi keindahan langit, sedang menarik aku ke dalamnya, dalam diam dan perlahan-lahan. Aku terjerumus ke lembah dunia yang penuh dusta.

Refleksi

Barangkali, aku ini adalah kau.
Bayangan yang mengejar mu ketika kau berlari di-tepian langit jingga.
Bayangan yang kian suram itu.
Yang kian hilang bila sirius mulai terpancar terang. 

Barangkali,
aku ini hanyalah refleksi pada mimpi-mimpi mu yang sepi dan menyepi.
Yang tak teringatkan oleh mu ketika menyinsingnya cahaya mentari.
Yang cuba kau selami dan fahami,
bila-mana aku ini kau rasakan,
hanyalah de-javu yang membeku,
di-pancaindera mu yang ke tujuh.

Semua itu perlukan waktu untuk kau fahami.
Untuk kau mengerti yang aku tiada bezanya dengan kau.
Kita hanya terpisah dengan sempadan cerminan kaca di dalam dunia yang sama.
Cumanya, aku perlukan sedikit masa dan ruang yang sudi kau sediakan untuk ku .
Buat aku yang membawa perkhabaran gembira.
Yang membunuh jiwa mu yang durja.
Melenyapkan diri kita bersama dari dunia.
Untuk duduk berbicara dengan malaikat-malaikat syurga.
Dan dicemburui insan-insan celaka.

Dengan Mimpi Aku Mati

Terkadang, aku bagaikan mati dalam mimpi-mimpi yang tidak pasti. 
Larut dalam kesamaran hidup yang nyata.
Cukup dengan harapan, manusia ini boleh sahaja dipaut sengsara.
Dijerut dengan masa. 
Dan dihambat oleh rasa. 
Kemudian, kita ditertawakan oleh mata-mata dunia. 
Mata-mata yang sentiasa bersedia,
melontar batu-batu derita.

"Harapan mu itu setinggi gunung yang paling tinggi, bagaimana kau mahu sampai ke atas sana, sedangkan kau cuma merangkak tanpa bertaut pun pada tali-tali untuk mendaki. Dan kau jangan sekali-kali memasang angan untuk berlari. Sedangkan di bumi yang rata, kau cepat untuk lelah. Inikan pula gunung yang tinggi."

Terkadang, 
Aku hanya hidup 
selepas pintu-pintu mimpi itu tertutup.
Tanpa ada sisa-sisa udara nyata untuk aku hirup.