Refleksi

Barangkali, aku ini adalah kau.
Bayangan yang mengejar mu ketika kau berlari di-tepian langit jingga.
Bayangan yang kian suram itu.
Yang kian hilang bila sirius mulai terpancar terang. 

Barangkali,
aku ini hanyalah refleksi pada mimpi-mimpi mu yang sepi dan menyepi.
Yang tak teringatkan oleh mu ketika menyinsingnya cahaya mentari.
Yang cuba kau selami dan fahami,
bila-mana aku ini kau rasakan,
hanyalah de-javu yang membeku,
di-pancaindera mu yang ke tujuh.

Semua itu perlukan waktu untuk kau fahami.
Untuk kau mengerti yang aku tiada bezanya dengan kau.
Kita hanya terpisah dengan sempadan cerminan kaca di dalam dunia yang sama.
Cumanya, aku perlukan sedikit masa dan ruang yang sudi kau sediakan untuk ku .
Buat aku yang membawa perkhabaran gembira.
Yang membunuh jiwa mu yang durja.
Melenyapkan diri kita bersama dari dunia.
Untuk duduk berbicara dengan malaikat-malaikat syurga.
Dan dicemburui insan-insan celaka.

Dengan Mimpi Aku Mati

Terkadang, aku bagaikan mati dalam mimpi-mimpi yang tidak pasti. 
Larut dalam kesamaran hidup yang nyata.
Cukup dengan harapan, manusia ini boleh sahaja dipaut sengsara.
Dijerut dengan masa. 
Dan dihambat oleh rasa. 
Kemudian, kita ditertawakan oleh mata-mata dunia. 
Mata-mata yang sentiasa bersedia,
melontar batu-batu derita.

"Harapan mu itu setinggi gunung yang paling tinggi, bagaimana kau mahu sampai ke atas sana, sedangkan kau cuma merangkak tanpa bertaut pun pada tali-tali untuk mendaki. Dan kau jangan sekali-kali memasang angan untuk berlari. Sedangkan di bumi yang rata, kau cepat untuk lelah. Inikan pula gunung yang tinggi."

Terkadang, 
Aku hanya hidup 
selepas pintu-pintu mimpi itu tertutup.
Tanpa ada sisa-sisa udara nyata untuk aku hirup.