Sesak

Akan ada satu ketika, bila kau menatap refleksi dirimu sendiri di cermin kaca, hatimu penuh dengan rasa amarah, kecewa dan ingin pupus dari dunia. Barangkali, pada saat itu, apa yang kau lihat di cermin kaca itu adalah seorang manusia yang berkepala keldai.

Dunia yang aku diami kini amat menyesakkan perasaan. Dipenuhi dengan manusia-manusia yang bukan manusia. Mungkin, aku patut beralih ke dunia lain.

Tenggelam

Hari mendung. Hujan belum turun.
Di sini aku berdiri dalam kegusaran. Kegelapan. Aku malu ditayang tuhan.
Kau tertawa dengan sekaki payung di genggaman. Dalam keterangan. Penuh kegembiraan.
Pada satu garisan halimunan yang memisahkan.


Hari mendung. Hujan belum turun.
Dalam rasa yang bercampur, aku menghirup nikmat tuhan. 
Walau tanpa secebis keindahan memalit tubuhku. Aku malu ditayang tuhan.
Tawamu surut perlahan-lahan. Berdiri dengan sekaki payung di genggaman.

Hari mendung. Hujan belum turun.
Aku sudah tenggelam. Pada nama yang tiada erti. Pada jiwa yang penuh benci.
Kau diam menatap aku yang mulai hilang. Malu ditayang tuhan.
Sekaki payung jatuh dari genggaman. 

Hari mendung. Hujan sudah turun. 
Kau basah keseorangan.
Air mata berlinangan.


Penulis

Bukanlah aku seorang penulis. Apatah lagi seorang novelis.
Aku, hanyalah daun kering yang gugur dan terbang ditolak angin ke jalanan.
Dipijak. Pada nasib yang baik, disapu dengan penyapu kayu.
Syukur, jika aku terpinggir ke tanah. Mereput dan jadi bahan baja.

Aku, memulakan segala-galanya dengan hati yang patah.

Mimpi

Mimpiku jauh. Terlalu jauh untukku habisi. Seperti ia tak akan pernah berakhir selagi jasadku di kandung badan. Selagi ada malam-malam yang aku lenakan.

Mimpiku jua dekat. Terlalu dekat untukku sekat. Menyesakkan ruang-ruang malamku yang sedikit. Menggasak lenaku yang sempit.

Mimpiku itu adalah teman yang paling setia bila gelap mulai menghinggap. Pegang watak protagonis yang membawa cahaya.

Mimpiku itu jua, adalah teman yang dapat selingkuh sesuka-suka hatinya. Dipakaikan watak antagonis yang membawa lara.

Dari mimpi-mimpi yang infiniti, satu telah ku tawan. Menjadikannya hidup di dunia kenyataan. Sebuah mimpi yang akan aku banggakan hingga malam-malamku menghilang. Yang dapat aku kongsikan pada insan-insan bernama kawan.

Tuhan, terima kasih untuk mimpi-mimpi malam.

Suka

Hidup aku hanya untuk manusia yang suka.
Aku kongsikan segala-galanya.
Senang dan tawa
Biar hidup sendiri masih melata.

Ianya kesenangan.
Sebuah kemenangan.
Suatu kepuasan.
Yang tak akan dapat aku beli dari mana-mana.
Walau dalam mimpi-mimpiku sekali pun.

Benci akan tersisih.
Ghaib dari pandangan mata.
Pupus dari rasa.
Kerana,
hidup aku hanya untuk manusia yang suka.

Aku bukanlah malaikat.