Selamat Tinggal Mimpi-Mimpi

Seingat aku, pada coretan awal aku mulakan dengan hati yang patah dan menyalahkan cinta. Aku mengisi kesunyian ketika itu dengan menulis emosi yang sarat dengan benci. Pada saat itu, seseorang hadir di hadapan aku. Berpaut pada sayap sang malaikatnya. Dia memulihkan aku perlahan-lahan. Dan memacu mimpi-mimpi yang aku coretkan lagi dan lagi ke atas helaian kertas yang tak pernah pun angankan.

Namun, segala-gala yang dimulakan memerlukan penamat. Seperti telah ditentukan sejak awal lagi. Serupa dengan kisah-kisah yang aku coretkan selalu. Tanpa aku sedari, aku berada di penghujung kisah yang aku lupakan kata mulanya. Dia akhirnya mengambil keputusan untuk pergi. Pantas merentap mimpi-mimpiku. Memadam segala semangatku. Mengingatkan aku pada rasa hiba yang lalu.

Aku hilang kehangatan. Memerangkap aku pada putaran masa yang beku. Aku tak akan salahkan siapa-siapa untuk yang kali ini. Aku meludah diriku sendiri. Betapa aku telah lupa suatu hal tentang hati. Hati yang mengucapkan selamat tinggal pada mimpi-mimpi.

Buku

Bacalah buku-buku yang dapat meng-evolusikan dirimu ke hadapan - dari seekor beruk menjadi seorang manusia yang komplit. Bukannya buku-buku yang membuatkan kau ter-mutasi tanpa sedar menjadi yang bukan-bukan.


ii

Bila-mana dunia memilih fantasi
Hikayat kepura-puraan itu menjadi realiti kepada aku.


Kecundang Sang-Pejuang

Mereka sang-pejuang. Turun bawa panji kebenaran. Menjulang nama tuhan - Kononnya.
Sekonyong-konyong mereka terbohong. Dek Raja sang-Pendosa. 
Susur-galurnya menyembelih agama. 
Memeluk erat harta pusaka. 
Mata terbuntang pada kuasa.

Fikrah sang-pejuang dipulas. 
Terbodoh dek petualang lidah bercabang.
Iman terbuang, azimat sahaja yang dipegang.
Tergadai-lah maruah. Terlerai-lah percaya.

Cahaya di langit mulai malap.
Menatap. Meratap. Di bawah, segala yang putih kian gelap.
Kecundang-lah mereka. 
Merintih tiada guna. 
Jasad-jasad sudah terhina
Jiwa-jiwa hilang warna.

Puji Keji

Cukuplah kau hidangkan aku secawan pujian.
untukku hirup dengan penuh kenikmatan
di sepanjang malam yang menyepi
dengan debar rasa tanpa erti.

Kau suakan aku sedulang kejian
manisan yang bersalut penghinaan
agar waras fikirku mati
dan dadaku gelumang rasa benci.

Mungkinnya benar
mereka telah lupa yang aku ini hanya manusia
meminta aku untuk terbang
sedangkan lupa
tubuhku tak pernah dilekatkan sayap.