Selamat Tinggal Mimpi-Mimpi

Seingat aku, pada coretan awal aku mulakan dengan hati yang patah dan menyalahkan cinta. Aku mengisi kesunyian ketika itu dengan menulis emosi yang sarat dengan benci. Pada saat itu, seseorang hadir di hadapan aku. Berpaut pada sayap sang malaikatnya. Dia memulihkan aku perlahan-lahan. Dan memacu mimpi-mimpi yang aku coretkan lagi dan lagi ke atas helaian kertas yang tak pernah pun angankan.

Namun, segala-gala yang dimulakan memerlukan penamat. Seperti telah ditentukan sejak awal lagi. Serupa dengan kisah-kisah yang aku coretkan selalu. Tanpa aku sedari, aku berada di penghujung kisah yang aku lupakan kata mulanya. Dia akhirnya mengambil keputusan untuk pergi. Pantas merentap mimpi-mimpiku. Memadam segala semangatku. Mengingatkan aku pada rasa hiba yang lalu.

Aku hilang kehangatan. Memerangkap aku pada putaran masa yang beku. Aku tak akan salahkan siapa-siapa untuk yang kali ini. Aku meludah diriku sendiri. Betapa aku telah lupa suatu hal tentang hati. Hati yang mengucapkan selamat tinggal pada mimpi-mimpi.

Buku

Bacalah buku-buku yang dapat meng-evolusikan dirimu ke hadapan - dari seekor beruk menjadi seorang manusia yang komplit. Bukannya buku-buku yang membuatkan kau ter-mutasi tanpa sedar menjadi yang bukan-bukan.